HAMIDIN
HAMIDIN
HM Digital

Kuala Lumpur: Tindakan menyingkirkan FELDA United ke Liga Perdana musim depan adalah hukuman yang harus diterima ekoran sikap sambil lewa pengurusan kelab itu.

Jadi, The Fighters tidak boleh menuding jari kepada pihak lain kerana banyak masa dan peluang sudah diberikan, namun masih gagal melengkapkan dokumen diperlukan bagi mendapatkan Lesen Kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

FELDA United gagal melengkapkan keperluan F.02, Penyata Kewangan Untuk Tempoh Interim yang direviu (tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2017), yang perlu memenuhi keperluan pendedahan minimum dan prinsip perakaunan serta perlu direviu atau diaudit oleh juruaudit bebas serta mesti merangkumi reviu kewangan oleh pengurusan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, berdasarkan fakta itu, secara jelas FELDA United bersikap sambil lewa dan tidak menghormati First Instance Body (FIB) dan Badan Rayuan (AB) Pelesenan Kelab FAM.

“Keperluan F.02 gagal dilengkapkan apabila beberapa perkara tidak memenuhi apa yang diperlukan dan bukan semata-mata hanya kerana tertinggal cop.

“Saya ingin tegaskan kegagalan FELDA United mendapatkan Lesen Kelab FAM bukan hanya disebabkan tertinggal cop seperti yang didakwa sumber kelab berkenaan dalam media, semalam.

“Sebaliknya, kegagalan FELDA United mendapatkan Lesen Kelab FAM itu adalah disebabkan mereka masih tidak dapat memenuhi satu daripada enam kriteria wajib ditetapkan iaitu kewangan, biarpun sudah diberi banyak peluang dan tempoh sewajarnya bagi melengkapkannya,” katanya.

Media melaporkan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menegaskan badan itu tidak menganiayai FELDA United ekoran tindakan penyingkiran kelab berkenaan ke Liga Perdana untuk musim 2018.

Tegas Hamidin, FELDA sudah diberikan khidmat nasihat secukupnya untuk melengkapkan keperluan, malah pada 28 September lalu, pegawai kewangan mereka sudah dipanggil untuk mengadakan pertemuan dengan pihak AB bagi memaklumkan apa yang perlu dilakukan.

Susulan pertemuan itu, pada 2 Oktober 2017, FAM menghantar surat rasmi bagi menyatakan dengan lebih jelas FELDA United perlu melengkapkan dua kriteria (F.01 dan F.02).

FELDA United berjaya melengkapkan keperluan F.01 – iaitu Penyata Kewangan Tahunan yang diaudit untuk tahun 2016 yang perlu memenuhi keperluan pendedahan minimum, prinsip perakaunan serta perlu melengkapkan reviu kewangan, namun mereka gagal menyempurnakan kriteria F.02.

“Secara tidak langsung, ia membuktikan apa juga keputusan dibuat FAM adalah berdasarkan peraturan, bukannya satu penganiayaan atau pilih kasih seperti yang didakwa.

“Kita mahu memastikan sesebuah kelab atau pasukan itu tidak hanya memberi tumpuan penuh mendapatkan pemain berkualiti, tetapi sepatutnya turut fokus daripada aspek pengurusan dan kewangan supaya seiring profesional,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 10:30 AM