Zulfaizan Mansor


USAHA Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar) untuk memberi hak penyiaran antara RM3 juta hingga RM4 juta kepada pasukan Liga Malaysia (Liga M) dianggap sebagai bukti yang menunjukkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu benar-benar ingin membantu pasukan tempatan.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Aminuddin Omar berkata, ia pasti menyumbang sesuatu yang positif buat semua pasukan termasuk dalam usaha pembangunan akar umbi.

Jelasnya, ia juga mampu mengukuhkan kedudukan kewangan semua pasukan dan merancakkan lagi saingan liga tempatan.

“Kami menyanjung tinggi usaha yang dilakukan TMJ kerana berjaya memperoleh penajaan besar dan saya difahamkan beliau akan memperuntukkan hak penyiaran kepada semua ahli gabungan.

“Ia menunjukkan TMJ sangat prihatin terhadap keperluan ahli gabungan dan ia juga sudah pasti akan memberi motivasi kepada pasukan untuk meningkatkan lagi pembangunan bola sepak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

TMJ mensasarkan setiap pasukan bakal menerima sekitar RM3 juta sehingga RM4 juta daripada hak penyiaran bagi musim depan dan jumlah itu dijangka meningkat untuk tahun seterusnya.

Semalam, TMJ yang juga Pengerusi Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menandatangani perjanjian bersama Ampersand Sports Sdn Bhd iaitu syarikat yang akan bertindak sebagai agensi eksklusif bagi hak penajaan saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula musim depan.

Sasaran yang diletakkan terhadap syarikat berkenaan adalah bagi mendapatkan penajaan sekurang-kurangnya RM104 juta untuk tempoh lima tahun.

B SATHIANATHAN
B SATHIANATHAN

Sementara itu, bagi Exco FAM yang mewakili Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Mohd Hisamudin Yahaya menjelaskan ia adalah satu langkah sangat baik buat liga tempatan yang sudah memasuki era penswastaan.

“Kita semua tahu berapa banyak pasukan yang menghadapi masalah kewangan dan ia sudah pasti meringankan beban pasukan negeri dan kelab,” katanya.

Pada masa sama, jurulatih FELDA United FC, B Sathianathan menyifatkan nasib pasukan akan lebih terbela dengan adanya peruntukan hak penyiaran yang tinggi seperti diumumkan TMJ.

“Memang baik untuk pasukan, dulu kita tidak dapat apa-apa walaupun aksi pasukan disiarkan secara langsung.

“Jadi TMJ sudah memaklumkan kepada semua (akan bagi hak penyiaran) dan saya fikir beliau akan berpegang pada janji,” kata Sathianathan yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 6:39 PM