DATUK Mohd Yusoff Mahadi. FOTO Azhar Ramli
DATUK Mohd Yusoff Mahadi. FOTO Azhar Ramli
Meor Riduwan Meor Ahmad


“KITA tetap berusaha dan itulah kemampuan kita setakat ini.”

Itu penjelasan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merangkap Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berhubung baki hak penyiaran bernilai RM1.5 juta untuk pasukan Liga Super dan RM500,000 Liga Perdana.

Kenyataan itu menimbulkan persoalan kemungkinan baki 50 peratus hak penyiaran yang sebelum ini dijanjikan akan dibayar selewat-lewatnya bulan ini, tidak dapat dilunaskan.

Mohd Yusof turut mengambil kesempatan menjelaskan perbezaan geran tahunan dan hak penyiaran yang masih menjadi kekeliruan dalam kalangan media serta penyokong bola sepak tempatan.

“Sebenarnya ia bukan geran, sebab selalu cakap geran tidak bayar. Wang yang perlu dibayar itu adalah dana kita akan dapat daripada hak penyiaran.

“Semua pasukan sebelum bertanding sudah menandatangani perjanjian bersama pengelola liga yang mana mereka akan terima 75 peratus hak penyiaran itu. Jadi, bukan isu geran,” katanya kepada media selepas Bengkel Program Kawalan Ekonomi (ECP) di Bangi, semalam.

Menurutnya, disebabkan pada tahun ini MFL tidak menerima hak penyiaran itu, tiada pendapatan boleh disalurkan kepada pasukan.

“Tetapi, kita sudah beri 50 peratus kerana masa kita mengatakan RM3 juta dan RM1 juta itu berdasarkan nilai perjanjian (hak penyiaran) yang sepatut kita dapat pada tahun sebelum itu.

“Jika ambil kira kita tidak dapat dana hak penyiaran pada tahun ini, patutnya nilai itupun tidak diberi kepada pasukan.

“Kita beri kerana menyedari keperluan pasukan bertanding mengharapkan dana ini dapat disalurkan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, MFL sentiasa berusaha untuk menyelesaikan atau membantu walaupun dalam kekangan kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 5:15 AM