HEUNG Min (kanan) merembat masuk gol ketiga pasukannya di Stadium Tottenham Hotspur. — FOTO AFP
HEUNG Min (kanan) merembat masuk gol ketiga pasukannya di Stadium Tottenham Hotspur. — FOTO AFP
AFP

SON Heung Min dan Harry Kane berganding hebat apabila masing-masing menyumbang dua gol ketika Tottenham membelasah Red Star Belgrade 5-0 di London sekali gus menghidupkan semula kempen mereka dalam Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Anak buah Mauricio Pochettino dibenam 7-2 di laman sendiri oleh Bayern Munich pada aksi terakhir di Eropah dan hanya menang dua daripada lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris.

Bagaimanapun, Pochettino gembira untuk melihat naib juara Liga Juara-Juara musim lalu itu kembali mempamerkan tahap yang beliau jangkakan.

“Ia satu keputusan penting. Pertama, bagi keyakinan kami dan kedua, tiga lagi mata dalam carta,” kata Pochettino, ketika Tottenham merampas kedudukan Red Star di tangga kedua Kumpulan B di belakang Bayern.

“Kami mula melihat inilah masanya kami perlu memulihkan keyakinan. Kami perlu pergi selangkah demi selangkah, mempamerkan aksi mantap semula untuk memenuhi setiap harapan yang diletakkan di bahu kami.”

KANE (dua kiri) menyumbang dua gol ketika menumbangkan Red Star. — FOTO Reuters
KANE (dua kiri) menyumbang dua gol ketika menumbangkan Red Star. — FOTO Reuters

Heung Min kembali dalam kesebelasan utama selepas direhatkan ketika persembahan hambar terkini Spurs, seri 1-1 di laman sendiri dengan pasukan tercorot Watford Sabtu lalu, hanya beberapa hari seleaps kembali daripada perlawanan kelayakan Piala Dunia yang tegang di Korea Utara.

Bintang Korea Selatan itu dan Kane menyinar di sebalik kemerosotan dramatik prestasi Tottenham dan mengemudi di bahagian serangan pada malam yang diharapkan Pochettino sebagai permulaan kepada titik perubahan.

“Kami sedar kami mengharungi beberapa keputusan yang sukar dan ia satu cara terbaik untuk memberikan tindak balas,” kata Kane.

“Kami tidak teragak-agak untuk menyempurnakan peluang di depan gol dan berjaya mengekalkan pintu gol daripada dibolosi.

“Apa yang paling penting kami menang. Untuk menang 5-0 sesuatu yang kami perlukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 8:26 AM