Malik Muhamad


“SEPATUTNYA tindakan sekumpulan pemain dan pegawai pasukan bola sepak yang menyerang penjaga garisan dapat dielakkan sekiranya mereka mengamalkan semangat kesukanan tinggi.

“Tapi jika emosi menguasai diri ia pasti gagal dikawal sekali gus boleh mencetus perkara tidak diingini dan yang rugi pemain itu sendiri kerana mungkin akan digantung,” kata bekas pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Azman Sulong (gambar), 50.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian seorang penjaga garisan berusia 26 tahun diserang sekumpulan pemain dan pegawai pasukan pada separuh akhir Liga Amatur Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Sabtu lalu.

Video kejadian yang tular di media sosial itu memaparkan penjaga garisan itu yang mempunyai kelayakan lesen Kelas 2 dipukul dan diterajang hingga menyebabkannya rebah dan lebam di beberapa bahagian badan.

Bagaimanapun tindakan pantas anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan petugas lain menyelamatkan pengadil yang akan menduduki ujian Kelas 1 FAM daripada lebih parah.

Difahamkan, perlawanan itu membabitkan Pikat FA menentang PBSMT/Lanjerket FC dan kejadian itu dipercayai tercetus apabila penjaga garisan itu membatalkan jaringan penyamaan pemain Pikat FA pada minit akhir kerana ofsaid.

Mengulas lanjut, Azman yang juga Pegawai Pembangunan Pengadil Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata, pasukan yang bertanding harus mempunyai sifat sabar dan perlu mengamalkan sikap menghormati keputusan pengadil.

“Saya sarankan jika sesebuah pasukan tidak berpuas hati mereka harus bersikap rasional iaitu membuat aduan secara rasmi kepada penganjur.

“Hal ini bukan saja dapat membantu pasukan lebih berdisiplin, malah memberi pedoman kepada mereka yang terbabit,” katanya kesal kerana insiden itu boleh mencemarkan imej bola sepak Terengganu dan pengadil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 11:21 PM