Mauricio Pochettino. FOTO AFP.
Mauricio Pochettino. FOTO AFP.
AFP

LONDON: Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino menggesa bos di Liga Perdana supaya menangguhkan penggunaan sistem kontroversi Video Bantuan Pengadil (VAR).

Pochettino tidak meminati sistem rakaman video yang membantu pengadil sekali pun ia menolong skuad kendaliannya meraih kemenangan pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga ke atas Chelsea, awal bulan ini.

VAR menganugerahkan Tottenham penalti selepas mendapati Harry Kane tidak berada dalam keadaan ofsaid ketika dijatuhkan.

Timbul kekeliruan apabila penjaga garisan tidak dapat mengesan kesalahan berkenaan dan penangguhan panjang bagi menanti keputusan VAR menyebabkan Pochettino dan pengurus Chelsea, Maurizio Sarri masing -masing mengkritik penggunaan sistem berkenaan selepas perlawanan.

Justeru Pochettino mahu badan induk di Liga Perdana supaya sistem itu menjadi lebih baik sebelum menggunakannya.

“Saya fikir idea yang bagus untuk menangguhkan perkara itu kerana jika kita tidak mendapat sebarang maklumat dan tidak tahu bagaimana ia berjalan dan bagaimana kita boleh membangunkan sistem ini dengan lebih baik, bagus untuk menghentikannya selama setahun atau lebih,” katanya.

“Ia adalah pandangan saya jika orang bertanya kepada saya, saya tidak tahun jika (Pengerusi) Daniel (Levy) akan bertanya kepada saya atau orang daripada Liga Perdana.

Pochettino memberi arahan kepada pemainnya.
Pochettino memberi arahan kepada pemainnya.

“Tetapi melihat setiap perlawanan yang berlangsung di Eropah ketika ini, tiada siapa yang gembira. Saya berjanji kepada kamu, tiada seorang pun! Apa yang membimbangkan saya sedikit adalah timbul situasi di mana bola sepak mula untuk menjengkelkan peminat.

“Perniagaan ini amat penting dan peminat kami, peminat bola sepak, perlu gembira. Jika kamu berhenti selama lima minit untuk membuat keputusan, saya tidak tahu bagaimana ia akan berjalan.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 12:12 PM