POCHETTINO (kiri) memberikan arahan kepada Danny Rose ketika separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Ajax, awal pagi tadi. — FOTO EPA
POCHETTINO (kiri) memberikan arahan kepada Danny Rose ketika separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Ajax, awal pagi tadi. — FOTO EPA
AFP

MAURICIO Pochettino mengakui bertanggungjawab susulan persembahan “cincai” Tottenham ketika kalah 0-1 pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di tangan Ajax selepas beliau mengamalkan taktik yang salah.

Anak buah Pochettino bermula hambar ketika Donny van de Beek meletakkan Ajax di depan hanya selepas 15 minit di Stadium Tottenham Hotspur, London, awal pagi tadi.

Ajax menguasai babak pertama hinggalah Pochettino mengubah keseluruhan perancangan permainannya dengan beralih daripada formasi 3-5-2 kepada sistem 4-4-2.

Dibantu dengan kemasukan Moussa Sissoko menggantikan Jan Vertonghen yang cedera, Tottenham kembali menguasai sekalipun tidak mengancam Ajax dengan hantaran bola jauh mereka.

PERTAHANAN Ajax, Nicolas Tagliafico (kiri) mengekang pemain Spurs, Lucas Moura. — FOTO EPA
PERTAHANAN Ajax, Nicolas Tagliafico (kiri) mengekang pemain Spurs, Lucas Moura. — FOTO EPA

Pochettino mengakui beliau melakukan kesilapan menerusi perancangan permainannya, namun pengurus Tottenham itu turut berang dengan persembahan tidak bermaya pemainnya pada aksi separuh akhir pertama Piala Eropah buat kelab itu dalam tempoh 57 tahun.

“Merenung semula sudah tentu saya terpaksa menerima hakikat ia satu kesilapan mengenai formasi yang kami gunakan. Tapi kami tidak mempunyai banyak pilihan,” kata Pochettino.

“Saya tidak gembira. Tapi kelesuan pemain saya sejak awal perlawanan menyukarkan lagi cabaran kami. Permainan kami agak cincai.

“Bukannya formasi itu yang menyebabkan gol. Pendekatan kami terhadap perlawanan ini tidak bagus. Saya pengurus jadi saya bertanggungjawab sepenuhnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 7:45 AM