POCHETTINO (kiri) mahu buru kejuaraan EPL dan Liga Juara-Juara.
POCHETTINO (kiri) mahu buru kejuaraan EPL dan Liga Juara-Juara.
AFP

LONDON: Jika bercakap mengenai siapa paling berkuasa di Utara London, trofi kabinet Arsenal sudah diisi beberapa kali baru-baru ini, berbanding Tottenham Hotspur dengan pertambahan tiga koleksi Piala FA sejak 2014.

Ia adalah tahun di mana Mauricio Pochettino mengambil alih Tottenham dengan pelan menjadikan kelab itu pencabar utama kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara.

Saham Pochettino meningkat tinggi sejak mengemudi kelab itu menamatkan saingan liga di tangga ketiga dan kedua, dalam dua musim terakhir liga dan mengharungi kempen Liga Juara-Juara dengan berjaya.

Sekali pun menamatkan saingan liga lebih baik berbanding Arsenal buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun musim lalu, tetapi Gunners tetap mencuri tumpuan apabila menewaskan Chelsea di final Piala FA.

Kejayaan Pochettino jelas akan dinilai dengan kemampuannya memenangi trofi dengan kali terakhir Spurs memenangi Piala FA adalah pada 1991 dan hanya dua kejayaan Piala Liga yang boleh dibanggakan.

Arsenal pula sudah menjulang Piala FA untuk dua kali berturut-turut sejak Pochettino mengemudi Spurs, tetapi jurulatih dari Argentina itu meletakkan sasaran lebih besar.

PEMAIN Spurs miliki momentum tinggi musim ini.
PEMAIN Spurs miliki momentum tinggi musim ini.

“Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara adalah cabaran yang besar bagi kelab-kelab gergasi, trofi seperti ini adalah trofi yang sebenar,” kata Pochettino menjelang aksi dengan Arsenal di Emirates, malam ini.

“Bagi kami, ia adalah perlawanan yang penting, tetangga dan lebih daripada tiga mata. Penting untuk kami terus mengekalkan kerja yang baik dalam proses yang panjang.

“Penting untuk kami meningkat setiap perlawanan, setiap musim dan saya katakan kami bukan saja boleh menang saingan piala, tetapi Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara.

“Itulah tekanan yang kami sedang cipta. Jika kami boleh menang Piala FA, Piala Liga, menakjubkan tetapi pilihan utama adalah menang Liga Perdana dan Tottenham berada dalam posisi untuk menang Liga Juara-Juara.”

PEMAIN Spurs gigih berlatih.
PEMAIN Spurs gigih berlatih.

Pertembungan tetangga malam ini memberi peluang buat Pochettino memenangi aksi tetangga Utara London pertama di Emirates, selepas hanya seri sepanjang tiga musim lalu.

Dia masih belum ditewaskan oleh Wenger dalam enam perlawanan liga, tetapi persoalannya adakah Spurs mampu menewaskan Arsenal yang beraksi di bawah tahap sebenar.

Dan bagi Pochettino, permusuhan tetangga tidak sepatutnya diperbesarkan.

“Saya tidak kisah siapa pun mereka, selepas tiga setengah tahun, banyak yang kami capai. Saya mahu mencapai lebih, menjadi yang pertama dan bukan kedua dan memenangi piala.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 1:18 PM