LOEW mahu menguji kemampuan barisan pemainnya. FOTO/AFP
LOEW mahu menguji kemampuan barisan pemainnya. FOTO/AFP
AFP

BERLIN: Jurulatih Jerman, Joachim Loew berkata, aksi persahabatan menentang England di Stadium Wembley, awal pagi Sabtu ini adalah medan untuk beliau melakukan eksperimen bagi mendapat kesebelasan utama terbaik menjelang kempen Piala Dunia 2018.

Dengan berbaki tujuh bulan sebelum Piala Dunia membuka tirai saingannya di Russia, Loew mahu memastikan beliau mendapat pilihan terbaik di setiap posisi.

Beliau akan menggunakan perlawanan menentang England dan Perancis, awal pagi Rabu depan untuk memberi peluang kepada muka baharu membuktikan kemampuan mereka bagi merebut tempat dalam skuad.

“Wembley mempunyai aura yang tersendiri, kami tahu stadium itu akan penuh dengan kehadiran 90,000 penonton dan kami teruja menanti perlawanan itu.

“Dari satu aspek, kami mahu memberi tentangan yang sengit dan sudah pasti keputusan perlawanan itu nanti penting. Namun, dari aspek lain, saya mahu melakukan eksperimen menentang pasukan besar.

“Ini kerana ketika pusingan kelayakan, kami tidak sentiasa berdepan lawan yang mempunyai kualiti sama. Kami masih di peringkat percubaan dan saya tidak mahu hanya menyaksikan pemain yang sering diturunkan sejak kebelakangan ini tetapi pemain lain juga.

“Beberapa pemain sudah hampir pasti membarisi skuad Piala Dunia kami jika tidak mengalami kecederaan seperti (Mats) Hummels, (Toni) Kroos dan beberapa lagi pemain yang menjadi tulang belakang skuad dan ketua pasukan,” kata Loew.

Ketika England diselubungi masalah kecederaan yang dialami beberapa tonggak utama, Jerman turut berdepan situasi sama yang menyaksikan mereka kehilangan khidmat Thomas Mueller, Manuel Neuer dan Jerome Boating.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 12:07 AM