RESTORAN E&Y Taman Adda Height sediakan dua skrin gergasi untuk pengunjung yang hadir. -Foto fail
RESTORAN E&Y Taman Adda Height sediakan dua skrin gergasi untuk pengunjung yang hadir. -Foto fail
Oleh Ibrahim Isa


SINONIM sebagai ‘port’ kaki bola, penyokong pasukan Johor Darul Ta’zim yang gagal mendapat tiket ke perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini, boleh ke Restoran E&Y Taman Adda Height bagi menonton siaran langsung menerusi dua skrin gergasi yang disediakan.

Pemiliknya, Sahul Hameed Yacoob berkata, sempena kejayaan JDT ke perlawanan akhir Piala Malaysia tahun ini, pihaknya menjemput semua penyokong datang menyaksikan perlawanan akhir itu dan memeriahkan pelbagai aktiviti yang akan diadakan.

Katanya, ia perlawanan bersejarah kerana JDT berpeluang menambah piala selepas menjuarai Liga Super musim ini dan berikutan itu pihaknya turut mahu meraikan kejayaan itu bersama semua penyokong tegar JDT.

“Kami bukan saja menyediakan pelbagai aktiviti di mana penyokong JDT berpeluang membawa pulang lebih 100 jersi dan kemeja-T JDT, lebih 100 topi, mafla dan pelbagai cenderahati seperti bola dan piala, kami turut memberikan potongan harga kepada semua pelanggan bermula jam 7.30 petang Sabtu ini.

“Kami mampu menampung sehingga 3,000 pelanggan pada satu-satu masa dan berharap orang ramai tidak akan melepaskan peluang untuk datang dan memberikan sokongan kepada JDT.

“Kami berharap, walaupun kecewa kerana tidak dapat ke Stadium Shah Alam untuk memberikan sokongan, sekurang-kurangnya kedatangan penyokong yang ramai dapat memeriahkan suasana dan mereka boleh memberikan sokongan kepada JDT,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, pelbagai aktiviti disediakan termasuk cabutan bertuah, kuiz dan teka bola dan ia sebenarnya sering dilakukan setiap kali kejohanan besar bola sepak seperti Piala Dunia dan Piala Eropah.

Bagaimanapun katanya, penganjuran kali ini lebih bermakna kerana ia membabitkan pasukan JDT yang disokong semua pelanggan dan pekerjanya.

“Saya cadangkan semua pelanggan supaya datang lebih awal kerana pelbagai acara akan bermula selepas Maghrib. Dua skrin gergasi disediakan untuk memberikan keselesaan kepada pengunjung berbanding hanya satu skrin gergasi sebelum ini.

“Sebagai warga Johor, saya bangga dengan kejayaan JDT dan berharap sokongan ini dapat mengubat hati penyokong yang tidak dapat ke stadium dan mereka yang berada di kawasan berhampiran serta berpeluang memenangi pelbagai hadiah sambil memberikan sokongan pada perlawanan itu.

“Selain penyokong JDT, kami turut membuka ruang kepada penyokong Kedah untuk datang bersama-sama menyaksikan perlawanan itu dalam semangat kesukanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 7:04 PM