Penyokong JDT ceria bersama tiket yang berjaya dibeli di kaunter Stadium Larkin pagi tadi bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 antara JDT dan Kedah pada 4 November di Stadium Shah Alam. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Penyokong JDT ceria bersama tiket yang berjaya dibeli di kaunter Stadium Larkin pagi tadi bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 antara JDT dan Kedah pada 4 November di Stadium Shah Alam. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Rudy Fazrunisyam Samarudin


KERAJAAN Negeri Johor tidak menolak kemungkinan mengumumkan Ahad ini sebagai cuti khas peristiwa sekiranya pasukan bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) menjuarai Piala Malaysia 2017 Sabtu ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani, berkata langkah itu dibuat sebagai menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar serta menghargai kegigihan pasukan Harimau Selatan dalam usaha merangkul piala berprestij itu.

“€œPengisytiharan adalah sebagai tanda terima kasih kepada pemain serta penyokong yang berjaya membawa pulang kejuaraan itu buat pertama kali dalam tempoh 25 tahun.

“€œIa juga sebagai menghargai sokongan padu rakyat Johor kepada pasukan JDT, sehingga membolehkan pasukan itu mencipta kejayaan demi kejayaan selama ini”€ katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Katanya, titah Sultan Johor supaya makluman awal diberikan kepada rakyat itu turut menzahirkan keprihatinan Tuanku bagi memudahkan mereka membuat persediaan awal dalam mengurus pekerjaan serta kegiatan harian lain memandangkan Ahad adalah hari bekerja di Johor.

Azmi turut menyeru semua peminat sukan bola sepak Johor untuk turun beramai-ramai memenuhi Stadium Shah Alam pada Sabtu ini bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan JDT.

“€œMari kita tunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi serta semangat kesukanan yang tinggi demi memastikan lakaran sejarah kejayaan pasukan kita dapat direalisasikan pada pertemuan akhir itu.

"Namun, penyokong juga mesti saling menghormati sesama peminat bola sepak yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 8:21 PM