VAN Huizen (tiga dari kiri) bersama anak buah puas beraksi di Dhaka. FOTO/HASRIYASYAH SABUDIN.
VAN Huizen (tiga dari kiri) bersama anak buah puas beraksi di Dhaka. FOTO/HASRIYASYAH SABUDIN.
Saiful Affendy Sapran


KETUA jurulatih hoki lelaki negara Stephen Van Huizen menegaskan beliau dan pemainnya tidak pernah menuntut sebarang ganjaran selepas kejayaan Malaysian Tigers mencipta sejarah muncul naib juara Piala Asia buat kali pertama di Dhaka, Bangladesh.

Jelas Stephen, beliau serta pemainnya berpegang kepada prinsip terpulang kepada mana-mana pihak termasuk Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk memberi ganjaran sepatutnya berdasarkan pencapaian mereka.

“Pada akhirnya kami bermain untuk mendapatkan keputusan paling baik.

“Jika mana-mana pihak berasakan kami layak untuk mendapat ganjaran, berikanlah apa yang sepatutnya. Kami sama sekali tidak akan meminta atau memutuskan kepada mana-mana pihak untuk memberikan ganjaran,” katanya.

Jelas Stephen, sejak berjaya melangkah ke Piala Dunia 2018 menerusi kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, Jun lalu, tiada seorang pun pemainnya mempersoalkan mengenai apakah bentuk ganjaran yang sepatutnya diberikan kepada mereka.

Bagaimanapun jelas Stephen, mengambil kira pengorbanan membabitkan beberapa pemainnya yang berdepan pelbagai situasi ketika beraksi di Dhaka, mereka sewajarnya berhak untuk menerima sesuatu.

“Fitri (Saari) pulang ke Malaysia untuk melihat anaknya yang kritikal sebelum ambil keputusan semula untuk kembali ke Dhaka membantu skuad negara.

“Faizal (Saari) hilang empat batang gigi manakala S Kumar tidak dapat menyambut perayaan Deepavali bersama keluarga. Ini antara pengorbanan besar mereka terhadap skuad negara.

“Bagi kami apa yang penting adalah mendapat kepuasan. Dengan pencapaian muncul naib juara Piala Asia, ia akan kekal menjadi ingatan setiap pemain sepanjang hidup mereka,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 8:20 PM