VAN Huizen (tengah) bersama Pengurus Pasukan Hoki Negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim (kiri) dan Penolong jurulatih, Muhamad Amin Rahim pada sidang media pengumuman senarai nama akhir skuad negara ke Piala Asia Dhaka di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO/OWEE AH CHUN.
VAN Huizen (tengah) bersama Pengurus Pasukan Hoki Negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim (kiri) dan Penolong jurulatih, Muhamad Amin Rahim pada sidang media pengumuman senarai nama akhir skuad negara ke Piala Asia Dhaka di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO/OWEE AH CHUN.
Saiful Affendy Sapran


SKUAD hoki lelaki negara tetap meletakkan sasaran tinggi untuk mara ke final Piala Asia di Dhaka, Bangladesh dari 11 hingga 22 Oktober ini yang menawarkan satu tiket ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India.

Ketua jurulatih Malaysian Tigers, Stephen Van Huizen berkata, meskipun hakikatnya barisan pemainnya tidak berdepan sebarang tekanan kerana sudah layak secara merit ke Bhubaneswar menerusi Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, Jun lalu, namun beliau berasakan Malaysia perlu meletakkan sasaran tinggi untuk terus mengekalkan prestasi cemerlang sepanjang tahun ini.

Skuad negara yang kini menduduki ranking ke-12 dunia hadir ke Dhaka selaku pasukan kedua terbaik selepas India (ranking keenam) sekali gus menjadi antara pilihan utama untuk mara ke final.

“Berdasarkan ranking semasa, kami berharap dapat mara ke final.

“Tapi saya sedar ia bukan satu tugas mudah sebab ada tiga negara yang bersaing untuk merebut tiket ke Piala Dunia,” kata Stephen merujuk kepada China, Jepun dan Korea Selatan yang masih mengintai peluang beraksi di kejohanan berprestij itu tahun depan.

Jelas Stephen, penampilan skuad negara kali ini jelas berbeza berbanding edisi sebelum ini apabila sering berada di ranking lebih rendah.

“Sebelum ini kami mungkin menjadi pasukan pilihan keempat dan mempunyai misi untuk melakukan kejutan dengan pasukan ranking lebih baik.

“Tapi sekarang kami menjadi pasukan pilihan berbanding menjadi sasaran pasukan lain.

“Saya sudah kerap tegaskan kepada pemain misi kali ini juga cukup penting untuk pasukan kerana kami juga dalam misi untuk terus memperbaiki ranking,” katanya pada sidang media mengumumkan senarai 18 pemain ke Dhaka, hari ini.

Daripada senarai itu, tiga pemain utama terpaksa digugurkan akibat kecederaan iaitu Firhan Ashaari, Meor Azuan Hassan dan Izad Hakimi Jamaluddin.

Penyerang muda Nik Aiman Nik Rozemi pula direhatkan sekali gus diberi peluang beraksi bersama skuad bawah 21 tahun negara bagi persiapan ke Piala Sultan Johor hujung bulan ini.

Sementara empat pemain yang tidak beraksi pada Separuh Akhir Liga Hoki Dunia disenaraikan iaitu Syed Syafiq Syed Cholan, Joel Samuel Van Huizen, Amirol Aideed Arshad dan Ramadan Rosli.

Di Dhaka, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, China dan Oman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 3:12 PM