WEE Kiong (kanan) bersama Yew Sin kini sudah semakin serasi. -Foto fail
WEE Kiong (kanan) bersama Yew Sin kini sudah semakin serasi. -Foto fail
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Menjelang pusingan pertama Terbuka Perancis, pemain beregu lelaki negara, Ong Yew Sin mengaku sudah semakin serasi bergandingan dengan pemain senior yang juga bekas pasangan nombor satu dunia, Tan Wee Kiong.

Menurut Yew Sin, selepas hampir sebulan berlatih bersama Wee Kiong, banyak yang dipelajari daripada pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu dan berharap aksi pertama mereka bertemu pasangan Jerman, Jones Ralfy Jansen-Josche Zurwonne hari ini berakhir dengan kemenangan.

“Memang banyak lagi yang saya perlu belajar dari Wee Kiong namun untuk aksi pertama nanti saya berharap dapat bermain seperti biasa. Jika kami berjaya mengejutkan beberapa pasangan pilihan, ia akan membuatkan kami lebih kuat,” kata pemain kelahiran Melaka itu.

Jelasnya, antara perkara baru yang dipelajari ketika bergandingan bersama Wee Kiong ialah membuat pukulan mengikut rentak permainan pasangannya itu.

“Memang tidak sama berbanding ketika saya bergandingan dengan Teo Ee Yi. Bagaimanapun, saya akui lama-kelamaan kami akan memahami antara satu sama lain apabila sudah mendapat rentak. Saya dengan dia (Wee Kiong) juga tidak mempunyai sebarang masalah sebelum digandingkan. Baik dari segi komunikasi mahupun ketika bergandingan.

“Daripada segi tekanan memang ada kerana saya bimbang akan melakukan kesilapan dan tidak memenangi perlawanan. Bagaimanapun, Wee Kiong memberitahu saya tidak perlu berasa tertekan dan melihat kepada keputusan kalah atau menang. Saya sendiri juga mempunyai sasaran untuk melakukan satu demi satu kejutan ketika bertemu lawan lebih kuat,” kata Yew Sin.

Selepas Terbuka Perancis, Yew Sin-Wee Kiong akan beraksi di Terbuka Bitburger di Jerman di mana mereka mendapat bye di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 3:13 PM