Aaron Chia-Wooi Yik ketika beraksi menentang beregu Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi pada Kejohanan Terbuka Malaysia.
Aaron Chia-Wooi Yik ketika beraksi menentang beregu Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi pada Kejohanan Terbuka Malaysia.
Ferzalfie Fauzi


SELEPAS dilambung dan dipuji antara skuad paling berjaya, pemain beregu lelaki negara ternyata gagal untuk meneruskan kecemerlangan itu di Terbuka Malaysia.

Gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tumpas di pusingan kedua Terbuka Malaysia, di Arena Axiata, hari ini.

Harapan peminat menyaksikan pasangan berpengalaman yang sekarang ini menjadi pemain profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong untuk mara ke pusingan berikutnya juga gagal apabila beregu berkenaan turut terkandas di pusingan kedua.

Aaron-Wooi Yik yang sebelum ini berjaya meraih gelaran naib juara Seluruh England, tumbang kepada pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 17-21, 19-21.

Yew Sin-Ee Yi pula mengharapkan mampu mara sehingga ke suku akhir ditunjukkan jalan keluar oleh pilihan ketujuh dari China, Han Chengkai-Zhou Haodong apabila kalah 17-21, 19-21.

"Bagi perlawanan hari ini, saya hanya guna satu perkataan saja untuk menggambarkan permainan kami, teruk.

“Memang teruk dan tidak bagus. Set pertama kami kena tinggal dengan agak jauh, terus hilang keyakinan dan kombinasi jadi tidak lancar," kata Aaron.

Dia juga mengakui permainan tidak mengikut susunan pergerakan dan selepas keluar gelanggang seperti kosong serta tidak tahu apa yang berlaku.

"Memang kita kena bangkit dan bincang semula dengan jurulatih (Paulus Firman) kerana masalah kita sekarang ini adalah tidak konsisten serta lemah dari segi mental," katanya.

Beregu lelaki negara, Ong  Yew Sin dan Teo Ee Yi tewas di pusingan kedua. FOTO Syarafiq Abd Samad.
Beregu lelaki negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi tewas di pusingan kedua. FOTO Syarafiq Abd Samad.

Sementara itu, Ee Yi mengakui sangat kecewa dengan persembahan hari ini yang menyekat hajat mereka untuk mara ke suku akhir.

Pada aksi lebih awal, V Shem-Wee Kiong pula tumpas kepada Takeshi Kamura-Keigo Sonoda (Jepun) 21-10, 13-21, 9-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 9:29 PM