KASMA (dari kiri), Hafizh, Khairul  dan Adam sedia gegar Litar Sepang.
KASMA (dari kiri), Hafizh, Khairul dan Adam sedia gegar Litar Sepang.
Sukhairi Thani


SEPANG! Tunggu kami Datang!

Itu mungkin kata-kata semangat yang dibawa empat pelumba negara yang akan beraksi di hadapan penonton sendiri pada Grand Prix Shell Malaysia, minggu ini.

Tiga daripadanya adalah pelumba musim penuh - Hafizh Syahrin Abdullah dan Khairul Idham Pawi dalam saingan Moto2 dan Adam Norrodin (Moto3) - dan seorang lagi Kasma Daniel Kasmayudin, bakat baru yang sedang meningkat.

Di atas kertas Hafizh, Khairul Idham dan Adam, masing-masing mempunyai kisah tersendiri ketika perlumbaan Ahad lalu di GP Australia dan semangat beraksi di laman sendiri, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pastinya lebih membara.

Hafizh menutup tirai perlumbaan di Phillip Island - litar yang menyaksikan dua daripada empat penampilannya di sana berakhir tanpa menamatkan saingan - dan kelmarin dia berjaya menduduki tangga ke-16, penamat sama seperti diraihnya pada 2015.

“Menamatkan perlumbaan di tangga ke-16 sesuatu yang mengecewakan,” kata pelumba PETRONAS Raceline yang akan berhijrah ke pasukan baru musim depan.

“Apapun, itu yang termampu kami lakukan di litar mencabar ini.

“Apa yang terbaik ketika ini adalah memberi tumpuan kepada perlumbaan di laman sendiri (minggu ini). Kami harap dapat memberi yang terbaik dan menghadiahkan kegembiraan buat penonton tempatan.”

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara dalam kelas Moto2, Khairul Idham sekadar menamatkan saingan di tangga ke-21 namun dilihat sudah tidak sabar untuk mempamerkan tunggangan memberangsangkan di Sepang.

“Perlumbaan seterusnya (di Sepang) amat penting kerana ia berlangsung di laman sendiri. Saya harap saya boleh mendapatkan keputusan yang baik di Sepang untuk keluarga, rakan dan juga penyokong tempatan,” kata pelumba Idemitsu Honda Team Asia itu.

Pasukan SIC Racing Team yang diwakili Ayumu Sasaki dan Adam pula memperoleh penamat terbaik mereka musim ini apabila masing-masing menamatkan saingan di tangga ketujuh dan kelapan.

“Sudah tentu ia sesuatu yang bagus untuk membawa momentum ini ke perlumbaan di laman sendiri nanti. Saya amat teruja untuk beraksi di Sepang,” kata Adam.

Bagi Kasma yang kini memburu gelaran dalam kelas CP150 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, dia tentunya mahu menggunakan peluang beraksi atas tiket wildcard Moto3 sebagai medan menimba ilmu di pentas dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 6:13 PM