Ozil (kanan) intai peluang berganding semula dengan Mourinho di United. FOTO AFP
Ozil (kanan) intai peluang berganding semula dengan Mourinho di United. FOTO AFP
Mirror

MESUT Ozil memberitahu rakan sepasukan Arsenal dia akan menandatangani kontrak bersama Manchester United.

Ozil, 29, bersedia mengumumkan berita mengejutkan itu dan yakin akan berhijrah ke Old Trafford.

Kontrak pemain tengah Jerman itu akan tamat pada penghujung musim ini dan boleh berhijrah bila bila masa menyertai pasukan lain.

Bos Gunners, Arsene Wenger minggu lalu secara terbuka mengakui The Gunners akhirnya akan menjual Ozil pada perpindahan Januari.

Situasi itu membuka kemungkinan Ozil akan berhijrah menyertai pencabar utama mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Biarpun belum ada kepastian, gergasi Old Trafford itu akan cuba mengadakan perbincangan untuk mendapatkan khidmat pemenang Piala Dunia 2014 itu.

Ozil yang diketepikan di Emirates serta kehilangan tempat kesebelasan utama tidak menyembunyikan hasrat mahu meninggalkan kelab London itu.

Bos United Jose Mourinho pula secara terbuka menganggap Ozil penyarung jersi No 10 terbaik di dunia.

Gandingan itu akrab kerana pernah bekerjasama di Real Madrid.

The Special One tetap menghormati Ozil biarpun pemain kaki kiri itu tidak bernasib baik sejak berpindah ke utara London pada 2013.

Mengambil antara aset terbesar Arsenal akan menyaksikan Mourinho berpeluang mengatasi pengurusan Wenger.

Wakil Ozil meminta £350,000 pound seminggu (RM1.9 juta) untuk kontrak baru.

Gunners menawarkan sebanyak £275,000 seminggu (RM1.5 juta) musim lalu tetapi difahamkan minat mengekalkannya sudah reda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 2:19 PM