PIQUE menjadi mangsa ejekan penyokong bola sepak Sepanyol.
PIQUE menjadi mangsa ejekan penyokong bola sepak Sepanyol.
AFP

MADRID: Sejak ketegangan politik membabitkan pungutan suara kemerdekaan wilayah Catalan, aksi menentang Atletico Madrid, awal pagi Ahad ini menjadi kunjungan pertama Barcelona ke ibu negara Sepanyol itu.

Sebelum ini, undian kemerdekaan dianggap tidak sah dan berlaku pertempuran antara polis dan pengundi sehingga menyebabkan 92 orang cedera dan 900 lagi menerima rawatan.

Kali terakhir aksi membabitkan Barcelona menentang Las Palmas, pada 1 Oktober lalu dilangsungkan secara tertutup.

“Ia adalah detik paling teruk yang pernah kami alami,” kata ketua pasukan Barcelona, Andres Iniesta kepada radio Catalunya.

Pada aksi di Wanda Metropolitano yang berkapasiti 68,000 tempat duduk, hanya 250 keping tiket disediakan kepada pasukan pelawat.

Namun kebanyakan penyokong Atletico menerusi laman sosial menggesa supaya tidak mencampuradukkan soal politik sepanjang perlawanan.

Walaupun tidak pernah menyokong kemerdekaan Catalonia secara terbuka, pertahanan Barcelona, Gerard Pique lantang terhadap hak wilayah berkenaan.

Disebabkan itu, Pique diejek ketika beraksi bersama skuad kebangsaan Sepanyol namun beliau mendapat sokongan daripada pertahanan Atletico, Filipe Luis.

“Walaupun ada ketika saya tidak bersetuju dengan apa yang dikatakannya, saya sebenarnya adalah peminat Pique,” kata pemain dari Brazil itu.

“Dia tampil dan tidak berselindung di sebalik kemasyhuran. Ia sangat mengagumkan dan saya harap lebih ramai pemain sepertinya.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 4:58 PM