VALVERDE (tengah) harap pemainnya fokus berdepan Atletico. FOTO/AFP
VALVERDE (tengah) harap pemainnya fokus berdepan Atletico. FOTO/AFP
AFP

MADRID: Jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde menolak tanggapan wujudnya ketegangan politik dalam kunjungan pertama mereka ke ibu kota Sepanyol sambil menegaskan ia hanya “perlawanan bola sepak.”

Barca akan berdepan Atletico Madrid awal pagi esok dalam kunjungan pertama sejak referendum kemerdekaan Catalan dicemari keganasan, beberapa minggu lalu.

Perlawanan itu digambarkan kapten Barca, Andres Iniesta minggu ini sebagai “saat paling teruk” dalam kariernya manakala Gerard Pique, pemain yang lantang mempertahankan hak Catalonia untuk menentukan nasib sendiri, menangis ketika bertemu wartawan selepas perlawanan.

Bagaimanapun Valverde berharap, perlawanan terbesar dalam La Liga setakat ini boleh melupakan seketika ketegangan politik di Sepanyol.

“Kami akan mempersiapkan diri kami. Ia adalah perlawanan antara dua pasukan yang mahu bertarung untuk La Liga dan ia akan menghasilkan suasana yang menarik, namun ia hanyalah perlawanan bola sepak,” kata Valverde semalam.

“Bola sepak ialah untuk orang ramai bergembira. Untuk menyokong pasukan mereka, menderita bersama pasukan dan meraikannya lebih daripada perkara lain.”

Hanya 250 tiket dijual kepada penyokong luar di stadium baru Atletico berkapasiti 68,000 tempat duduk, Wanda Metropolitano.

Bagaimanapun ramai penyokong Atletico menggunakan media sosial untuk menggalakkan penyokong tidak mempolitikkan perlawanan itu dengan mengibarkan bendera Sepanyol, menggunakan hashtag “bendera kita ialah merah dan putih” di Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2017 @ 12:26 PM