AKSI El Clasico kini melangkaui bola sepak dengan kehangatan isu kemerdekaan Catalonia daripada Sepanyol. -Foto Agensi
AKSI El Clasico kini melangkaui bola sepak dengan kehangatan isu kemerdekaan Catalonia daripada Sepanyol. -Foto Agensi
AFP

MADRID: Pertembungan ‘El Clasico’ antara Barcelona dan Real Madrid bukan saja berkisar mengenai bola sepak, malah ia turut membabitkan soal politik serta sosial bagi kedua-dua penyokong kelab berkenaan.

Dengan perlawanan bakal berlangsung di sini, kedua-dua bandar di kelab gergasi Sepanyol itu juga akan diadakan pilihan raya dengan penduduk Catalonia mengharapkan kemerdekaan daripada kerajaan Sepanyol.

“Mereka mempunyai hubungan ideologi yang sangat kuat,” kata saintis politik, Pablo Simon.

“Di satu pihak adalah Real Madrid, yang biasanya boleh dikatakan mempunyai peminat yang lebih konservatif dan nasionalis.”

Simon berkata bahang pilihan raya turut menambah kehangatan perlawanan itu yang pasti menjanjikan aksi menarik daripada kedua-dua pasukan.

“Di Barcelona, bendera Catalan dikibarkan sambil penyokong menyanyikan lagu kemerdekaan pada setiap 17 minit perlawanan yang berlangsung di Nou Camp sebagai mengingati kerajaan Catalonia dalam Perang Saudara pada 1714.

“Suasana sama pastinya menanti di Santiago Bernabeu dengan penyokong Real majoritinya adalah penduduk Sepanyol yang enggan melihat Barcelona keluar daripada negara Eropah itu.

“Justeru, ia bukan sekadar perlawanan bola sepak tetapi ia menjangkau lebih daripada itu,” katanya yang mengharapkan Barcelona tetap kekal dalam saingan La Liga.

Presiden La Liga, Javier Tebas sebelum ini berulang kali memberi amaran kepada Barcelona yang mereka tidak akan dibenarkan bermain di liga Sepanyol sekiranya keluar menjadi sebuah negara bebas.

Bagaimanapun, ancaman Tebas itu langsung tidak mencemaskan Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu yang berpandangan pasukan kebangsaan Sepanyol bakal kehilangan separuh kekuatan kerana kebanyakan pemain datangnya dari kelab itu.

Malah, Florentino Perez yang juga orang nombor satu Real Madrid turut menempelak kenyataan Tebas yang hanya akan merugikan skuad La Roja itu.

“Saya tidak boleh membayangkan atau melihat Sepanyol beraksi tanpa pemain dari Catalonia, atau saingan La Liga tanpa kehadiran kelab Barcelona,” kata Perez.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 3:07 PM