SEORANG penyokong Sepanyol menunjukkan sepanduk ‘Keluar Pique’. FOTO/REUTERS
SEORANG penyokong Sepanyol menunjukkan sepanduk ‘Keluar Pique’. FOTO/REUTERS
Reuters

MADRID: Pemain Barcelona berbangsa Catalan, Gerard Pique menjadi sasaran penyokong Sepanyol yang berang semalam ketika sesi latihan secara terbuka dengan pasukan kebangsaan sehari selepas undi suara kemerdekaan Catalunya diharamkan oleh kerajaan.

Pertahanan tengah Pique, yang sempat membuang undi dan mengkritik keganasan polis terhadap pengundi yang menyebabkan beratus-ratus mengalami kecederaan, sudah lama menjadi sasaran peminat Sepanyol namun kata-kata kesat ditujukan kepadanya semalam lebih teruk lagi.

Penyokong Sepanyol di pusat latihan Las Rozas di Madrid mengejek, memaki hamun dan menyanyi meminta Pique meninggalkan pasukan itu, yang berdepan dua perlawanan kelayakan Piala Dunia, memperagakan kain rentang mengutuk tindakannya.

Media Sepanyol melaporkan polis merampas beberapa kain rentang itu termasuk yang menggambarkan Pique sebagai “meloyakan.”

“Sikap Gerard amat luar biasa,” kata jurulatih Julen Lopetegui memberitahu stesen radio Sepanyol, Cadena COPE.

PIQUE (tengah) tak hirau cemuhan penyokong. FOTO/REUTERS
PIQUE (tengah) tak hirau cemuhan penyokong. FOTO/REUTERS

“Saya mahu melihat bagaimana keadaannya dan saya lihat dia bermotivasi serta bersungguh-sungguh. Dia baik dan teruja, jika tidak sebegitu dia tidak akan bersama pasukan saya.”

Bagaimanapun Lopetegui mempertahankan keputusan mengadakan sei latihan secara terbuka dan berkata: “Ia mungkin satu kesilapan berlatih secara tertutup. Peminat mempunyai hak untuk melahirkan perasaan mereka.

“Saya sedar situasinya tidak menyenangkan tapi saya minta mereka supaya memberi ruang dan kewajaran.”

Pique, 30, berkata Ahad lalu dia akan meninggalkan pasukan kebangsaan jika diminta oleh Lopetegui atau RFEF (persekutuan bola sepak Sepanyol).

Dia sudah mengumumkan akan bersara daripada tugasan antarabangsa selepas Piala Dunia 2018 di Russia, selepas bosan menjadi mangsa kritikan penyokong Sepanyol.

Pique sudah beraksi 91 kali bersama negaranya dan menjadi anggota skuad yang memenangi Piala Dunia 2010 dan Euro 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 12:40 PM