PIQUE sedih dengan insiden keganasan di wilayah kampungnya. FOTO/REUTERS
PIQUE sedih dengan insiden keganasan di wilayah kampungnya. FOTO/REUTERS
Reuters

BARCELONA: Pertahanan Barcelona, Gerard Pique menyatakan dia terfikir untuk bersara daripada pasukan kebangsaan Sepanyol selepas dikritik hebat mengenai pandangannya terhadap desakan kemerdekaan Catalunya namun kemudian menarik balik hasrat itu.

Pique, yang menyatakan bersara hanya akan menggembirakan pengkritiknya, diejek dan dicemuh ketika sesi latihan terbuka bersama Sepanyol, Isnin lalu.

Dia menangis Ahad lalu berikutan insiden keganasan di wilayah kampung halamannya ketika polis cuba menghalang pengundi daripada menyertai pungutan suara yang diharamkan itu.

Pemain pertahanan itu, yang sempat membuang undi Ahad lalu, kemudian bercadang menarik diri daripada kancah bola sepak antarabangsa jika jurulatih Julen Lopetegui atau rakan sepasukannya berasa tidak selesa dengan kehadirannya.

Dia bagaimanapun berkata semalam, dia tetap komited terhadap pasukan itu.

PIQUE (kanan) kembali bersemangat hadapi saingan kelayakan Piala Dunia. FOTO/AFP
PIQUE (kanan) kembali bersemangat hadapi saingan kelayakan Piala Dunia. FOTO/AFP

“Saya menimbangnya (bersara daripada pasukan Sepanyol) tapi akhirnya anda perlu menilai setiap pilihan dan selepas berfikir panjang saya memutuskan tidak meninggalkan pasukan ketika ini kerana ia akan memenangkan orang yang menghina saya,” kata Pique.

“Saya percaya orang yang mengejek saya hanya minoriti dan saya yakin ramai lagi termasuk kelompok pemain ini yang mahukan saya kekal dan membantu pasukan memenangi perlawanan.”

Lopetegui berkata, kini masanya buat pasukan itu fokus terhadap aksi kelayakan Piala Dunia awal pagi Sabtu ini menentang Albania, yang mana Sepanyol boleh memastikan tempat ke pusingan akhir di Russia tahun depan.

“Kami perlu teruskan bersama Pique dan kini masanya menumpukan terhadap perlawanan itu,” kata Lopetegui.

“Untuk bermain dengan baik, kami memerlukan sokongan peminat. Saya mahu bercakap mengenai bola sepak, pasukan ini perlu bercakap mengenai bola sepak.”

Pique, 30, beraksi 91 perlawanan buat Sepanyol dan menjuarai Piala Dunia 2010 dan Euro 2012 bersama negaranya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 9:33 AM