RAMOS (kiri) bergurau bersama Pique ketika sesi latihan.
RAMOS (kiri) bergurau bersama Pique ketika sesi latihan.

Paris: Biarpun bermusuh di peringkat kelab, pemain Sepanyol Sergio Ramos dan Gerard Pique bersatu membentuk pertahanan kukuh dalam usaha menjulang Kejuaraan Eropah ketiga berturut-turut.

Juara bertahan dua kali itu berdepan laluan sukar juntuk ke final Euro 2016 pada 10 Julai depan.

Aksi blokbuster 16 pasukan terakhir menentang musuh lama Itali esok, disusuli pertemuan dengan juara dunia Jerman dan tuan rumah Perancis selepas Sepanyol bolos saat akhir dan kehilangan tangga teratas Kumpulan D kepada Croatia.

Perlawanan ulangan final Euro 2012 itu akan menghidangkan cabaran memecah kubu kental Itali yang diterajui Andrea Barzagli, Leonardo Bonucci dan Giorgio Chiellini dikenali sebagai ‘BBC’.

Kapten Real Madrid Ramos dan Pique pemain paling lantang dalam skuad Barcelona apabila sering bertengkar, terutamanya musim ini sebaik berlaku kekecohan dalam bola sepak Sepanyol.

Pique sering diejek dan disorak penyokong Sepanyol kerana mentertawakan Real berikutan kejayaan Barca menjulang tiga gelaran pada 2014/16 dan dia enggan mengalah dan berkata: “Saya sentiasa mahu Madrid kalah.”

Ramos kemudian membalas: “Pemain veteran seperti Pique sepatutnya jangan jadi seperti budak-budak.”

Sebagai pemain Catalan, komitmen Pique terhadap pasukan kebangsaan Sepanyol turut dipersoalkan. Terkini, Pique terpaksa menepis tuduhan dia menunjukkan jari tengahnya ketika lagu kebangsaan Sepanyol dimainkan.

“Saya menyilang jari ketika lagu kebangsaan,” kata Pique menerusi Twitter.

“Kita sepatutnya berhenti mencari kontroversi yang tidak wujud dan cuba menjuarai Euro bersama-sama.”- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2016 @ 5:10 AM