MERTENS (kanan) jaring gol pembukaan buat Napoli dalam pertemuan menentang Genoa. -Foto Reuters
MERTENS (kanan) jaring gol pembukaan buat Napoli dalam pertemuan menentang Genoa. -Foto Reuters
AFP

MILAN: Napoli mengekalkan permulaan sempurna dan kembali merampas status peneraju Serie A selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menumbangkan Genoa 3-2, awal pagi tadi.

Dries Mertens meledak dua jaringan untuk gol peribadi kesembilannya musim ini selepas bekas perancang tengah Queens Park Rangers Adel Taarabt meletakkan Genoa di depan.

Ervin Zukanovic kemudiannya menjaringkan gol sendiri untuk memastikan Napoli kembali mendahului aksi sebelum Armando Izzo merapatkan jurang di hujung permainan.

“Apa yang perlu dikesali adalah kami tidak memastikan kemenangan dalam permainan yang kami kuasai, dan melepaskan gol ketika aksi berbaki 10 minit,” kata pengendali Napoli, Maurizio Sarri.

Kemenangan itu bagaimanapun membolehkan Napoli kembali berada dua mata di depan Inter Milan yang turut mencatat kemenangan 3-2 ke atas Sampdoria, semalam.

Juventus pula kekal di tangga ketiga selepas menewaskan SPAL 4-1 di Turin, dengan Lazio mengetepikan kontroversi membabitkan penyokong mereka untuk berkongsi kedudukan sama hasil kemenangan 2-1 di Bologna.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 10:34 AM