FERRARI (kiri) jaring gol ketiga iaitu gol kemenangan Sampdoria. -Foto EPA
FERRARI (kiri) jaring gol ketiga iaitu gol kemenangan Sampdoria. -Foto EPA
AFP

MILAN: Sampdoria terus garang apabila mengejutkan Juventus 3-2 di Genoa, sekaligus menyukarkan lagi laluan penyandang juara Serie A itu untuk terus menghimpit pendahulu, Napoli.

Duvan Zapata, Lucas Torreira dan Gian Marco Ferrari mencetak nama selaku penjaring pada babak kedua untuk membantu Sampdoria mengekalkan rekod sempurna di laman sendiri, pada musim ini.

Juventus meledak dua gol pada minit akhir perlawanan menerusi sepakan penalti Gonzalo Higuain dan gol kedua oleh Paulo Dybala sebelum wisel penamat dibunyikan.

Keputusan ini menyaksikan Juventus kini ketinggalan empat mata di belakang Napoli yang meraih kemenangan 2-0 ke atas AC Milan, semalam.

“Ini adalah keputusan yang langsung tidak dijangka dan begitu mengejutkan kami,” kata jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri.

“Kami sepatutnya tenang meskipun keputusan tidak berpihak kepada kami. Perjalanan masih lagi panjang,” katanya yang mengambil risiko apabila merehatkan Gianluigi Buffon dan Andrea Barzagli.

TORREIRA (kanan) jaring gol kedua buat Sampdoria. -Foto EPA
TORREIRA (kanan) jaring gol kedua buat Sampdoria. -Foto EPA

Allegri juga meletakkan Dybala diletakkan di bangku simpanan, sedangkan setakat ini Sampdoria berjaya membuktikan mereka sentiasa kuat ketika beraksi di kubu sendiri sepanjang musim ini.

Dalam aksi pagi tadi, Sampdoria memecah kebuntuan apabila Zapata menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-52, sebelum gol kedua disumbangkan oleh Torreira pada minit ke-71 dan Ferrari menambah gol ketiga lapan minit berselang.

Juventus dihadiahkan sepakan penalti selepas Ivan Strinic mengasari Douglas Costa di dalam kotak penalti yang disempurnakan Higuain pada minit ke-91.

Dybala berjaya mengurangkan defisit dengan percubaan terakhir pada perlawanan itu (minit ke-94) untuk gol kedua Juventus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 9:17 AM