JORGE Lorenzo ketika aksi MotoGP di Litar Sepang. -Foto Agensi
JORGE Lorenzo ketika aksi MotoGP di Litar Sepang. -Foto Agensi
Saiful Affendy Sapran


MALAYSIA kekal menganjurkan Kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) untuk dua pusingan terakhir musim depan yang boleh dilabel pusingan ‘eksklusif’ kerana menjadi kemuncak kepada pengeluar serta pelumba dalam merebut kejuaraan dunia.

Menerusi kalendar kejohanan tahun depan yang diumum MotoGP, Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia akan berlangsung pada 4 November sebelum pusingan terakhir di Valencia, 18 November.

Sebanyak 19 pusingan akan berlangsung tahun depan dengan Thailand yang bakal menganjurkan perlumbaan berprestij itu buat kali pertama, diletakkan di pusingan ke-15.

Malaysia sudah diberi hak penganjuran untuk dua pusingan terakhir sebanyak tiga kali berturut-turut bermula pada 2014.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali ketika mengulas perkara itu mengakui banyak negara begitu mengharapkan dapat menganjurkan perlumbaan itu di hujung saingan, namun pihaknya masih mampu meyakinkan Dorna selaku pemegang hak penganjuran MotoGP untuk memberikannya kepada Malaysia.

“Kita perlu sentiasa mempertahankan untuk menganjurkan perlumbaan ini padas dua pusingan terakhir. Banyak negara seperti Jepun dan Australia mahu menganjurkannya pada tempoh sama, tapi kami berjaya meyakinkan Dorna,” katanya.

Razlan juga menegaskan kehadiran Thailand selaku salah satu tuan rumah untuk musim depan, sama sekali tidak menjejaskan kehadiran penyokong saingan dua roda itu di Malaysia yang dilihat menunjukkan peningkatan ketara sejak kebelakangan ini.

“Kekuatan kita ialah sebanyak 80 hingga 85 peratus adalah penyokong tempatan berbanding negara luar.

“Jadi saya fikir ia tidak memberi kesan besar selagi kita mempunyai sokongan yang cukup tinggi daripada rakyat Malaysia sendiri,” katanya.

Tahun ini GP Malaysia akan berlangsung pada 29 Oktober sebelum pusingan terakhir di Valencia pada 12 November.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 10:59 PM