Razlan beri jaminan Malaysia kekal anjur dua pusingan terakhir MotoGP. FOTO NSTP
Razlan beri jaminan Malaysia kekal anjur dua pusingan terakhir MotoGP. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


MALAYSIA akan kekal untuk menganjurkan Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) pada dua pusingan terakhir yang dilabel 'eksklusif' pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali berkata, pemegang hak penganjuran MotoGP, Dorna sudah memberi jaminan untuk tidak menukar kalendar pusingan di Malaysia meskipun kini mendapat saingan daripada negara Asia Tenggara, Thailand yang mula menganjurkan perlumbaan berpestij itu tahun lalu serta Indonesia bermula 2021.

"Hubungan kita dengan Dorna begitu baik. Sebelum mereka mengesahkan Thailand dan Indonesia menganjurkan saingan MotoGP, saya sudah beritahu Dorna Malaysia perlu kekal di pusingan sekarang.

"Bermaksud Malaysia perlu menganjurkan perlumbaan MotoGP dalam dua pusingan terakhir.

"Dorna bersetuju dengan cadangan kami dan tidak akan mengubah kalendar perlumbaan di Litar Antarbangsa Sepang (SIC)," katanya.

Kalendar perlumbaan pada hujung tahun dilihat eksklusif berbanding awal musim kerana barisan pelumba sedang bersaing untuk menentukan kejuaraan dunia sekali gus menjadikan penganjuran MotoGP bagi satu-satu negara itu cukup menarik dan meriah.

Sementara itu, Razlan menjangkakan jumlah kehadiran penonton ke SIC tidak akan terjejas selepas mendapat saingan dari Thailand dan Indonesia.

"Sebab 85 peratus penonton yang menyaksikan perlumbaan di Sepang adalah penonton tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 4:11 PM