PERTAHANAN Barcelona, Samuel Umtiti (kiri) berebut bola dengan penyerang Huesca, Alex Gallar pada aksi La Liga, awal pagi tadi. — FOTO AFP
PERTAHANAN Barcelona, Samuel Umtiti (kiri) berebut bola dengan penyerang Huesca, Alex Gallar pada aksi La Liga, awal pagi tadi. — FOTO AFP
Reuters

PENDAHULU La Liga, Barcelona diikat tanpa jaringan oleh kelab tercorot Huesca awal pagi tadi selepas jurulatih Ernesto Valverde melakukan rombakan besar menjelang suku akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Manchester United, awal pagi Rabu ini.

Barca mendahului carta dengan 74 mata dan baki enam perlawanan sekalipun kelebihan mereka dikurangkan kepada sembilan mata selepas pasukan tangga kedua Atletico Madrid mengalahkan Celta Vigo 2-0.

Dengan kejuaraan hampir pasti selepas menang 2-0 ke atas Atletico hujung minggu lalu, Valverde menurunkan skuad berbeza berbanding ketika menang 1-0 di Old Trafford pada suku akhir pertama pertengahan minggu ini, melakukan 10 perubahan dan memberikan tiga pemain penampilan sulung liga.

Penjaring terbanyak Lionel Messi tidak hadir pada perlawanan itu selepas cedera di muka oleh pertahanan United, Chris Smalling, Ivan Rakitic dan Sergio Busquets turut direhatkan manakala Gerard Pique dan Luis Suarez digantung perlawanan.

REAKSI pemain Barcelona selepas perlawanan berakhir seri tanpa jaringan di Estadio El Alcoraz, Huesca. — FOTO Reuters
REAKSI pemain Barcelona selepas perlawanan berakhir seri tanpa jaringan di Estadio El Alcoraz, Huesca. — FOTO Reuters

Penjaga gol Marc-Andre ter Stegen satu-satunya pemain yang bermula di Old Trafford berada dalam kesebelasan utama menentang Huesca, sekalipun Barca mendapat rangsangan dengan kembalinya penyerang Perancis, Ousmane Dembele selepas sebulan berehat kerana cedera.

Pemain tengah Barca, Arturo Vidal mengakui pasukannya lebih menumpukan usaha melepasi suku akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2015 berbanding aksi mereka awal pagi tadi.

“Saya fikir setiap orang yang bermain hari ini hanya memikirkan mengenai perlawanan Selasa ini, sama seperti pemain yang tinggal di rumah. Liga Juara-Juara menjadi impian setiap orang,” ujar pemain Chile itu.

“Ada banyak perubahan dan beberapa pemain membuat penampilan sulung jadi saya gembira secara umum dengan perlawanan ini sekalipun kami patut lebih tajam di serangan,” kata Valverde.

“Ia situasi sukar dengan ramai muka baharu tapi saya faham itulah yang perlu kami lakukan hari ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 11:23 AM