AFP

Miami, AS:Gerard Pique (gambar) mencetus gol kemenangan Barcelona ke atas Real Madrid semalam ketika aksi El Clasico di Miami berjaya mencapai matlamatnya.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu menampan masuk sepakan percuma Neymar pada minit ke-50 bagi melengkapkan kemenangan 3-2 buat kelab gergasi Catalunya itu di depan 66,014 penonton di Stadium Hard Rock.

Lionel Messi, yang memperagakan aksi menakjubkan sepanjang 64 minit, membuka tirai jaringan selepas hanya tiga minit dan apabila Ivan Rakitic menggandakan kedudukan tidak lama kemudian, Real Madrid dilihat gagal melawan.

Namun anak buah Zinedine Zidane bangkit daripada kealpaan mereka dan sebelum rehat, gol daripada Mateo Kovacic dan Marco Asensio menyaksikan mereka menyamakan kedudukan.

Apa yang menyusul amat menarik, aksi persahabatan yang getir sebelum Pique meledak gol penentuan.

Barca menewaskan Manchester United dan Juventus dalam pertandingan persahabatan Piala Juara-Juara Antarabangsa itu namun ketidaktentuan menyelubungi Neymar sepanjang di AS ketika Paris Saint-Germain dilaporkan sedia membelinya.

Pemain Brazil itu bermula dalam skuad kendalian Ernesto Valverde dan ketika rakan sepasukannya menuju pulang dia akan terbang ke China untuk melakukan tugas komersial bagi pihak kelab itu.

Valverde enggan mengulas panjang mengenai masa depan Neymar.

“Saya sering kali cuba bercakap mengenai apa yang berlaku bukannya apa yang mungkin berlaku,” katanya. “Kami akan tunggu. Dari perspektif saya, kami ada Neymar dalam pasukan kami, kami bergantung kepadanya dan kami terpaksa tunggu dan lihat.

“Saya tidak mahu mempuat spekulasi mengenai Neymar. Saya melihatnya di tempat sama saya lihat baru-baru ini: di tengah padang bersama kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 10:54 AM