VENUS berjaya menewaskan Veroninka. FOTO AFP
VENUS berjaya menewaskan Veroninka. FOTO AFP
AFP

Cincinnati: Venus Williams meraih kemenangan straight set untuk mengecewakan pilihan ke-16, Veroninka Kudermetova pada Terbuka Cincinnati, awal pagi tadi sekali gus kemenangan pertamanya ke atas 20 pemain terbaik dalam tempoh empat tahun.

Veteran Amerika berusia 43 tahun itu, yang diberikan wild card pada kejohanan minggu ini, mempamerkan kebangkitan hebat untuk menewaskan Veroninka 6-4, 7-5.

Juara Grand Slam tujuh kali itu, yang kariernya sudah menjangkau empat dekad berbeza, mempamerkan semangat untuk bangkit daripada ketinggalan 1-4 pada set pertama sebelum pada satu ketika mendominasi 5-1 di set kedua untuk memastikan kemenangan.

"Saya menyukai sukan ini. Beberapa tahun kebelakangan ini agak sukar kerana saya mengalami kecederaan.

"Saya mahu terus beraksi dan menjadi lebih kuat. Fokus kepada diri sendiri kerana ia penting untuk diri saya," kata Venus selepas menewaskan lawannya dari Rusia yang menduduki ranking ke-14 dunia itu.

Venus, yang mara sehingga ke separuh akhir di Cincinnati pada 2012, menyaksikan aksinya terganggu oleh hujan sebelum dia melengkapkan kemenangannya.

Dalam perlawanan wanita lain, juara Terbuka AS 2017, Sloane Stephens yang membuat penampilan kali ke-12, ditewaskan oleh lawannya dari Itali, Elisabetta Cocciaretto 7-5, 6-2.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 8:42 AM