VAN Huizen (kiri) mahu beri peluang buat muka baru.
VAN Huizen (kiri) mahu beri peluang buat muka baru.

Kuala Lumpur: Selepas kejayaan yang sudah dijangka apabila memenangi pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) dengan mempertaruhkan barisan terkuat, ketua jurulatih skuad hoki negara Stephen Van Huizen memberi bayangan untuk melakukan sedikit rombakan bagi persiapan ke Piala Asia di Dhaka, Oktober depan.

Jelas pengendali berusia 58 tahun itu, ada kemungkinan untuknya memberi peluang kepada beberapa pemain muda bagi menggalas tugas di Dhaka.

“Ketika ini barisan pemain diberi cuti selama dua minggu dan selepas itu mereka perlu kembali fokus untuk persiapan ke Piala Asia pula.

“Yang pasti, kami tidak berdepan dengan sebarang tekanan apabila turun pada kejohanan ini kerana sudah pun layak ke Piala Dunia 2018.

“Jadi saya fikir mahu memberi peluangg kepada barisan pemain muda untuk saingan di Dhaka,” katanya.

Juara di saingan Piala Asia akan ditawarkan tiket ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India, namun skuad negara dilihat tidak perlu mengejar kedudukan itu kerana sudah layak secara merit menerusi kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, Jun lalu.

Malaysian Tigers meraih emas dengan penuh bergaya apabila membelasah Myanmar 14-0 pada aksi final sekali gus meneruskan penguasaan menerusi acara hoki pada temasya dwitahunan itu.

Mengulas mengenai pencapaian itu, Stephen menegaskan, skuad negara perlu sentiasa meletakkan standard apabila bertemu siapa pun lawan mereka.

“Kita mahu memberikan yang terbaik kepada penonton terutama yang menyaksikan di stadium dan atas faktor itu saya beritahu pemain supaya bermain di tahap sebenar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 8:52 AM