Naqib Nor Said

FITRI Saari (gambar) membuktikan dirinya memiliki jiwa besar apabila sanggup kembali ke Dhaka untuk bersama skuad hoki negara selepas anaknya Adam Zafran, 5 bulan disahkan semakin stabil.

Berita kepulangan Fitri sememangnya tonik terbaik buat skuad kendalian Stephen Van Huizen menjelang aksi pertama round robin berdepan Pakistan dalam saingan Piala Asia di Stadium Maulana Bhasani, esok.

Tonggak berusia 24 tahun itu ketika dihubungi mengesahkan keputusannya itu sambil menjelaskan jika tiada halangan dia akan menaiki penerbangan ke Dhaka malam ini.

“Doktor sudah memaklumkan keadaan Adam semakin stabil dan selepas berbincang dengan isteri, saya membuat keputusan untuk kembali ke Dhaka.

“Memang tidak dinafikan keputusan ini dibuat dengan berat hati, tapi sebagai pemain, saya mempunyai sasaran untuk meraih pingat Piala Asia.

“Saya tidak kisah sekalipun ada pihak yang tidak menyokong dan mengecam keputusan saya ini, tapi di sana saya akan kerap berhubung dengan isteri untuk mengetahui keadaan Adam,” kata Fitri.

Ditanya sama ada fokusnya dalam permainan tidak akan terjejas, Fitri yang juga bekas penuntut Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Kota Tinggi, Johor berkata dia akan cuba memberikan aksi terbaik.

“Saya akan cuba fokus terhadap perlawanan, Lagipun, sudah terlambat untuk jurulatih membuat pertukaran pemain,” katanya yang menaiki pesawat Malindo nanti.

Ahad lalu, Fitri terpaksa pulang secara mengejut apabila doktor di Hospital Serdang memaklumkan anaknya yang dijangkiti kuman paru-paru berada dalam keadaan kritikal.

Untuk rekod, Malaysia masih kemarau kejuaraan Piala Asia sejak sembilan edisi lalu dengan pencapaian terbaik pernah diraih tempat ketiga edisi 2007 di Chennai, India.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 6:20 PM