PEMAIN Malaysia, Ramadan Rosli (dua dari kanan)  mengawal bola ketika perlawanan menentang Myanmar dalam acara Hoki Sukan SEA KL 2017 di Stadium Hoki Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil.
PEMAIN Malaysia, Ramadan Rosli (dua dari kanan) mengawal bola ketika perlawanan menentang Myanmar dalam acara Hoki Sukan SEA KL 2017 di Stadium Hoki Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil.
Naqib Nor Said


SKUAD hoki lelaki negara yang sudah mengesahkan tiket ke pentas akhir, seperti dijangka tidak berdepan masalah menewaskan Myanmar 6-0 pada aksi terakhir round robin di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Namun detik yang lebih penting ialah lawan mereka melakar sejarah mara ke final Sukan SEA buat kali pertama sejak acara hoki mula dipertandingkan pada 1971.

Ia selepas Myanmar berjaya mengelak daripada bolos lebih lapan gol pada aksi itu kerana mereka terikat tujuh mata bersama Singapura. Myanmar sebagai pasukan yang mempunyai kelebihan jaringan, layak ke final.

Malah, sebaik perlawanan tamat, barisan pemain Myanmar meraikan kejayaan itu dengan penuh kegembiraan bersama ketua jurulatihnya Zahid Ali yang berasal dari Pakistan.

Berikutan itu, Myanmar sekali lagi akan menentang Malaysia pada final, Selasa ini.

Penentuan pingat gangsa pula akan ditentukan naib juara bagi Sukan SEA 2015, Singapura menentang Thailand.

Dalam perlawanan dengan Myanmar, Razie Rahim dan Shahril Saabah muncul wira negara apabila masing masing meledak dua gol dengan Fitri Saari dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi menyumbat satu gol.

Sementara itu, skuad hoki wanita negara akan berentap dengan Thailand di final esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 10:08 PM