LEWIS Hamilton. Foto ARKIB NSTP
LEWIS Hamilton. Foto ARKIB NSTP
AFP

LEWIS Hamilton akan kembali lebih bertenaga dan bersedia untuk mengejar gelaran juara dunia yang kelima minggu ini apabila saingan Formula Satu kembali di Grand Prix Belgium selepas cuti musim panas.

Selepas tiga minggu tanpa sebarang aksi yang dibayangi spekulasi perpindahan dan persaraan, juara bertahan yang juga juara dunia empat kali serta pasukannya Mercedes berpeluang melebarkan kemenangan pada tiga perlumbaan akan datang bermula di litar Spa-Francorchamps yang terletak di kawasan hutan Ardennes.

Hamilton kini mendahului juara dunia empat kali dari Ferrari, Sebastian Vettel dengan 24 mata ketika saingan berbaki sembilan perlumbaan, memenangi dua daripada tiga perlumbaan di Belgium sebelum ini dan kini mencari kemenangan keempat keseluruhan.

“Separuh musim kedua, selepas cuti musim panas, kebiasaannya ia lebih baik buat kami,” kata Hamilton.

“Ia sentiasa menarik, sentiasa sengit dan terutama apabila ia membabitkan perlumbaan yang panjang, kebiasaannya ia baik untuk kami.”

Hamilton menjangkakan saingan sengit daripada Vettel apabila Ferrari kini sedang berusaha merampas kembali kejuaraan bermula dengan perlumbaan di Belgium hujung minggu ini dan kemudian di laman sendiri di Monza, Itali.

Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff mengambil pendekatan memastikan pasukannya tidak terlalu yakin dan memberi amaran bahawa bulan terakhir mungkin lebih sukar seperti di awal musim.

“Saingan kompetitif sentiasa berlaku dari litar ke satu litar yang lain,” kata Wolff. “Apa yang jelas lawan kita berusaha keras dan sentiasa memberi cabaran sengit.

“Tiada pelumba pilihan di setiap litar dan tidak semestinya kereta terpantas akan menang.”  

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 11:17 AM