SABITZER (kanan) harap dapat gunakan kelebihan tempat sendiri. -Foto AFP
SABITZER (kanan) harap dapat gunakan kelebihan tempat sendiri. -Foto AFP

BERLIN: Peledak RB Leipzig, Marcel Sabitzer menjangkakan pertemuan yang menarik apabila Bayern Munich bertandang untuk kempen Piala Jerman, awal pagi Khamis ini.

Menariknya, ia pertembungan pertama dalam tempoh empat hari membabitkan dua kelab gergasi Bundesliga itu.

Leipzig berharap untuk memanfaatkan deretan masalah kecederaan dihadapi Bayern yang kehilangan beberapa bintang termasuk kapten, Manuel Neuer, Thomas Mueller dan Franck Ribery.

Pertahanan Jerman, Mats Hummels yang mengalami kecederaan buku lali minggu ini bergelut untuk beraksi di pusingan kedua saingan piala itu di Arena Red Bull diikuti aksi liga empat hari kemudian di Munich.

Pertembungan di pentas Bundesliga, Sabtu ini juga pasti menarik dengan kedua-dua pasukan hanya dibezakan dengan satu mata di mana Leipzig di tangga ketiga dan Bayern di kedudukan kedua.

“Kami berada pada prestasi terbaik. Peminat boleh menjangkakan persembahan yang menarik,” kata Sabitzer yang menjaringkan gol tunggal ketika Leipzig meraih kemenangan 1-0 ke atas Stuttgart, Sabtu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Leipzig, Oliver Mintzlaff mengambil pendekatan lebih merendah diri dengan menegaskan Bayern “berada di kelas tersendiri dengan skuad terbaik yang diisi pemain-pemain kelas dunia” sekali pun tanpa pemain yang cedera.

“Kami memerlukan hari yang sempurna tetapi kami percaya kepada diri kami dan mahu menunjukkan sekali lagi yang kami bagus dalam melakukan kejutan,” kata Mintzlaff.

Mueller dipalit kecederaan ketika Bayern menang ke atas Hamburg Sabtu lalu dengan pemain Sepanyol, Thiago Alacantara dijangka akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan olehnya.

“Mereka memiliki kualiti yang hebat dan bermain dalam permainan yang amat intensif dan corak serangan balas menekan yang intensif,” kata Hummels.

Bayern menewaskan Leipzig dua kali dalam kempen Bundesliga musim lalu apabila menang 3-0 pada Disember di Munich diikuti kemenangan 5-4 pada Mei di laman lawan.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 11:37 AM