BARISAN pemain bola tampar negara mahu beri tentangan sengit.
BARISAN pemain bola tampar negara mahu beri tentangan sengit.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Meskipun dilihat sebagai sukan minoriti, Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) tetap menyimpan impian memberi sumbangan besar kepada kontinjen negara pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

Tanpa rekod gah pada temasya dwitahunan itu, MAVA bagaimanapun lebih positif dan yakin untuk cuba menghadirkan dua pingat tanpa mengira warna pada temasya kali ini.

Prestasi semasa yang cukup memberangsangkan baik untuk pasukan lelaki mahupun wanita memberi tambahan suntikan keyakinan bahawa penyertaan mereka pada temasya kali ini bukan sekadar pelengkap pasukan.

Bagi pengurus pasukan wanita negara, Yean Lai Haw, barisan pemainnya mempamer peningkatan cukup ketara dan beliau menjangkakan kejutan mampu dilakar pada KL2017.

“Barisan pemain negara sudah menjalani latihan intensif sejak 22 bulan lalu.

“Antara pencapaian yang meyakinkan kami untuk menyumbang pingat nanti adalah apabila memenangi pingat emas pada satu kejohanan jemputan di Singapura awal tahun ini.

“Sebab itu saya cukup yakin kami mampu melakar sejarah baru dengan memenangi pingat,” katanya.

Untuk rekod, pasukan bola tampar wanita negara belum pernah memenangi sebarang pingat pada temasya Sukan SEA.

Sementara itu, pengurus pasukan lelaki negara, Hanif Basree Abd Rahman berkata, beliau begitu positif dengan komitmen tinggi yang dipamerkan barisan pemain muda negara.

“Saya tidak mahu meletakkan sasaran tertentu kerana ia mungkin memberikan tekanan kepada pemain,” katanya.

Sepanjang penyertaan di Sukan SEA, skuad bola tampar lelaki hanya pernah memenangi pingat perak pada 2001 di Kuala Lumpur selepas tewas kepada Thailand di aksi final.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 4:33 AM