MAVA sudah merangka program dan kejohanan pada setiap peringkat umur. FOTO/FAIL
MAVA sudah merangka program dan kejohanan pada setiap peringkat umur. FOTO/FAIL
Azlan Muhammad Zain


PERSATUAN Bola Tampar Malaysia (MAVA) menaruh harapan supaya Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memberi lampu hijau kepada mereka untuk menyertai Sukan Asia, Ogos depan.

Menurut Presiden MAVA, Datuk Benny Hoe, mereka sudah mendapat kebenaran menyertai bola tampar pantai di Palembang namun pada masa sama mengharapkan turut dibenarkan menyertai pertandingan dalam dewan bagi kategori lelaki dan wanita yang dijadualkan berlangsung di Jakarta.

“Kami dalam proses rayuan dan berharap mendapat maklum balas positif secepat mungkin. MOM bimbang tahap kami (rendah) namun saya memohon kami diberi peluang terutamanya dengan barisan kepimpinan baharu yang diterajui saya sedang berusaha keras mengembalikan sukan ini ke tahap yang sepatutnya.

“Kami sudah merangka program dan kejohanan pada setiap peringkat umur dengan harapan MOM akan memberikan peluang untuk mengembangkan bakat mereka ke peringkat lebih tinggi selepas saingan domestik. Kita cuba meningkatkan kembali tahap permainan skuad negara yang agak tertinggal selama ini.

“Antara pembaharuan yang kami lakukan adalah latihan pusat yang panjang sehingga enam bulan bagi meningkatkan kualiti pemain negara,” tambahnya yang dilantik menerajui MAVA pada November lalu.

MAVA sedang menganjurkan Kejohanan Bola Tampar Terbuka Malaysia 2018 di Shah Alam bermula semalam sehingga Ahad ini.

Sebanyak 11 pasukan lelaki dan tujuh wanita bersaing merebut kejuaraan yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM38,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 2:52 PM