POAD (kiri) akan pantau Khairul untuk mengelakkan kecederaan.
POAD (kiri) akan pantau Khairul untuk mengelakkan kecederaan.
Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Jurulatih Mohd Poad Md Kassim mengakui tidak khuatir dengan prestasi Khairul Hafiz Jantan ketika pelari pecut itu semakin bersedia untuk menghadapi Sukan SEA bulan depan.

Namun, kebimbangannya lebih terarah kepada kecederaan yang mungkin boleh meranapkan impian Malaysia meraih gelaran pelumba terpantas Asia Tenggara sejak kali terakhir dimenangi Nazmizam Muhammad pada edisi 2003.

“Saya hanya bimbangkan kecederaan saja, dari segi prestasi dia memang boleh melakukan catatan lebih baik. Ketika latihan di Baguio, Filipina, dia mampu mencatat masa lebih baik baik berbanding 20.90 saat dalam acara 200 meter.

“Saya akan menjaganya dalam tempoh ini bagi mengelakkan sebarang kecederaan. Semua aspek akan dijaga sama ada dari segi pemakanan, rehat mencukupi dan sebagainya,” jelas Poad.

Selain 100m, Khairul Hafiz turut dilihat mempunyai prospek dalam 200m selepas meleburkan rekod kebangsaan berusia 49 tahun milik Tan Sri Dr M Jegathesan.

“Dalam acara 100m, dia berada di kedudukan teratas berbanding lawan dari Filipina, Thailand dan Indonesia,” tambahnya.

Selain dua acara berkenaan, atlet berusia 19 tahun itu turut menjadi sandaran untuk kuartet 4x100m menamatkan kemarau emas 48 tahun acara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 5:08 AM