ZAQHWAN (kanan)  duduki tempat ketiga di Litar Suzuka.
ZAQHWAN (kanan) duduki tempat ketiga di Litar Suzuka.
myMetro

Kuala Lumpur: Md Zaqhwan Zaidi meraih podium pertama dalam kariernya di Litar Suzuka apabila menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ketiga Pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Suzuka, Jepun, semalam.

Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing yang memulakan perlumbaan dari petak ketujuh itu menamatkan saingan 13 pusingan dengan masa keseluruhan 28 minit 57.346 saat untuk berada di belakang pelumba Australia Anthony West (Akeno Speed Racing) yang memenangi perlumbaan itu dengan 28’56.056s.

Yuki Ito yang pada satu ketika mendahului perlumbaan, terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan hanya dibezakan 0.084s.

Seorang lagi pelumba negara Azlan Shah Kamaruzaman (Manual Tech KYT Kawasaki Racing) yang memulakan perlumbaan di petak kedua, sekadar menduduki tempat keempat dengan 28’57.663s meskipun mendahului pada peringkat awal perlumbaan.

Bagi Zaqhwan, dia berpuas hati dengan kemenangan ini namun sedikit kecewa kerana gagal memungut lebih banyak mata bagi merapatkan jurang kedudukan pendahulu.

“Perlumbaan hari ini (semalam) sangat menarik dan sengit. Semua pelumba kelompok depan memberikan saingan sengit dan saling bertukar kedudukan.

“Setiap kesilapan dilakukan akan digunakan pelumba lain untuk berada di depan. Walaupun beraksi dengan kaki tercedera, saya masih mampu memberikan aksi terbaik.

“Kemenangan ini podium pertama saya di Litar Suzuka sepanjang saingan ARRC. Saya bersyukur dan berharap dapat memperoleh keputusan lebih baik pada Perlumbaan 2, esok (hari ini),” jelas Zaqhwan yang melonjak ke tangga kedua dengan 70 mata.

Azlan Shah kekal mendahului kedudukan keseluruhan selepas mengumpul 96 mata manakala Taiga Hada (Rama Honda) yang menamatkan cabaran di tempat keenam turun ke tangga ketiga dengan 65 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2017 @ 12:13 AM