ZAQHWAN  (kiri), Parkes dan Azlan bergambar di atas  podium.
ZAQHWAN (kiri), Parkes dan Azlan bergambar di atas podium.
Saiful Affendy Sapran

PELUMBA negara, Md Zaqhwan Zaidi terlepas muncul juara Perlumbaan 1 kelas ASB1000 apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM 2019 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun hari ini.

Pelumba Honda Asia Dream Racing with Showa itu yang bermula di petak pertama, tewas kepada pelumba Australia, Broc Parkes dari Yamaha Racing Team ASEAN yang muncul juara. "Saya melakukan beberapa kesilapan ketika perlumbaan hari ini dan menjejaskan rentak tunggangan saya.

"Tapi saya akhirnya berjaya meraih tempat kedua. Untuk perlumbaan kedua esok saya mahu memenangi perlumbaan," katanya.

Seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman yang beraksi bersama ONEXOX TKKR SAG Racing Team meraih tempat ketiga.

Azlan mengakui berasakan ada yang tidak kena dengan jentera BMW S1000 RR yang ditunggangnya ketika mengharungi 11 pusingan perlumbaan di litar sepanjang 5.8 kilometer (km) itu.

"Saya rasa mungkin saya seorang sahaja yang menggunakan tayar lembut berbanding pelumba lain dan sebab itulah kepantasan jentera agak terjejas.

"Ketika melakukan ujian sebelum Perlumbaan 1, ia nampak selesa malah saya mampu mencatat masa agak memberangsangkan. Tetapi, ketika perlumbaan sebenar keadaannya agak berbeza dan usaha saya untuk memintas pelumba lain tidak begitu stabil dan lancar," katanya.

Terdahulu dalam kelas Supersport 600, kejutan berlaku apabila pelumba wildcard dari Jepun, Soichiro Minamimoto (Akenospeed-Yamaha) tampil gagah untuk bergelar juara pada penampilan pertamanya di ARRC musim ini.

Pelumba Jepun itu mengatasi pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayudin pada dua lap terakhir bagi membolehkannya bergelar juara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 10:11 PM