Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih yakin Goh Jin Wei (gambar) akan disenaraikan dalam Program Podium pada masa akan datang selepas juara remaja dunia itu tidak terpilih untuk fasa pertama.

Menurut Setiausaha Kehormat BAM Ng Chin Chai, Jin Wei tidak menepati kriteria ditetapkan untuk disenaraikan dalam program berkenaan walaupun sebelum ini badan induk berkenaan pernah mencadangkan nama pemain berusia 16 tahun itu.

“Antara kriteria ditetapkan untuk atlet disenaraikan dalam program ini adalah mampu meraih pingat di Sukan Olimpik, Asia dan Komanwel. Mungkin namanya terkeluar sebab tidak memenuhi kriteria ditetapkan,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Program Podium di Institut Sukan Negara (ISN) semalam.

“Kami (BAM) juga akan merayu untuk cuba menyenaraikannya tapi saya yakin suatu hari nanti dia akan berada dalam program berkenaan,” katanya.

September tahun lalu, BAM mencadangkan lapan atlet untuk disenaraikan dalam program berkenaan termasuk Jin Wei, namun di majlis pelancaran semalam hanya tujuh pemain saja dipilih termasuk jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Pemain lain yang disenaraikan dalam Program Podium ialah Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki), Vivian Hoo-Woon Khe Wei (beregu wanita) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Jurulatih yang disenaraikan untuk program berkenaan ialah Hendrawan (perseorangan lelaki), Jeremy Gan (beregu lelaki), Wong Pei Tty (beregu wanita) dan Chin Ee Hui (beregu campuran).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 7:25 AM