Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki Iskandar Zulkarnain Zainuddin (gambar) mengakui bertambah bersemangat selepas mengetahui mungkin diturunkan dalam aksi peringkat kumpulan Piala Sudirman menentang Jepun di Gold Coast, Australia.

Menurut pemain berusia 26 tahun itu, ini peluang terbaik buatnya untuk membuktikan kemampuan menjelang Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur selepas berehat selama empat bulan kerana kecederaan belakang.

“Saya berasa lega kerana tidak mengalami sebarang kesakitan di bahagian belakang. Saya juga gembira kerana terpilih untuk berada dalam skuad ini,” katanya yang kali terakhir beraksi di Terbuka Macau, Disember tahun lalu.

Jelasnya, mengikut percaturan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dia sepatutnya kembali ke gelanggang di Terbuka Thailand hujung bulan ini namun diberi kepercayaan menyertai skuad Piala Sudirman.

“Perkara ini masih belum diputuskan (beraksi menentang Jepun) tapi jika diberi peluang bermain di peringkat kumpulan, saya merasakan berkemungkinan besar beraksi menentang Jepun,” kata pemain kelahiran Johor itu.

Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei masih menjadi pilihan utama skuad negara bagi acara perseorangan lelaki tetapi jurulatih negara, Tey Seu Bock dijangka memberi peluang buat Iskandar beraksi.

“Peluang sangat tinggi buat saya memulakan aksi menentang Jepun kerana mereka tidak mempunyai pemain hebat dalam acara perseorangan lelaki.

“Secara peribadi saya rasa kita mempunyai peluang cerah untuk muncul juara Kumpulan 1C dan mara ke pusingan kalah mati. Tahap keyakinan kami sangat tinggi dan bersemangat untuk memberikan persembahan terbaik,” kata Iskandar.

Jepun menyenaraikan pemain muda, Kenta Nishimoto (ranking ke-61 dunia) dan Yu Igarashi (102) untuk Piala Sudirman kali ini.

Skuad negara yang tiba di Gold Coast kelmarin giat melakukan persiapan untuk turun pada aksi sulung menentang Jerman, Selasa depan.

Bagaimanapun, di kejohanan sama pada 2013, Malaysia dikejutkan wakil Eropah itu apabila tumpas 2-3 di peringkat kumpulan sebelum tersingkir selepas kalah tipis dengan keputusan sama kepada Taiwan pada perlawanan kedua.

Pencapaian terbaik negara di kejohanan berpasukan campuran ini adalah mara ke separuh akhir di Guangzhou padas 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 10:46 AM