Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei (gambar) menggesa rakan sepasukan yang akan beraksi bersama-samanya di Piala Sudirman hujung minggu ini di Gold Coast supaya sama-sama mencipta sejarah untuk sekurang-kurangnya mara ke perlawanan akhir.

Menurutnya, walaupun tanpa pemain utama beregu campuran, Goh Liu Ying yang masih dalam proses pemulihan kecederaan bahu dan lutut namun skuad kali ini bukan calang-calang apabila dianggotai oleh tonggak senior seperti Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) serta Chan Peng Soon (beregu campuran).

“Kami sedar kali ini kami mempunyai peluang cerah (untuk mara lebih jauh). Memang kami tidak dapat menurunkan Liu Ying namun skuad kali ini masih mempunyai pasangan kedua Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (kedudukan 11 terbaik dunia) dan Peng Soon masih boleh berganding bersama pemain muda (Cheah Yee See),” katanya selepas memeterai kontrak baru duta jenama 100PLUS semalam.

Jelasnya, banyak percaturan boleh dilakukan untuk memantapkan skuad negara termasuk mengubah gandingan membabitkan pemain beregu.

“Tidak kisah menang atau kalah, kami pergi tanpa sebarang harapan tapi kami akan pergi dengan semangat melawan. Semua pemain sudah melakukan persiapan untuk pergi menentang sesiapa saja. Kami akan cuba sebaik mungkin untuk mara ke separuh akhir.

“Kalau mara hingga ke akhir lebih bagus dan saya anggap sebagai bonus. Memang kami mempunyai pemain yang kali pertama beraksi seperti Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (beregu lelaki) dan Goh Jin Wei (perseorangan wanita) dan bermain di Piala Sudirman iaitu kejohanan berpasukan campuran bukan satu perkara mudah tapi kami perlukan kerjasama antara satu sama lain.

“Kalau saya tumpas sekali pun dan pemain lain menang, kami dalam satu pasukan tetap mencatat kemenangan, ini pentingnya semangat kerjasama sepasukan,” kata pemain nombor satu dunia itu.

Skuad negara yang bertolak ke Gold Coast esok, akan membuka tirai kempen menentang Jerman pada 23 Mei dan seterusnya menentang Jepun (24 Mei) untuk perlawanan terakhir Kumpulan 1C, bagi mencari slot dua terbaik ke suku akhir.

Pencapaian terbaik negara pada kejohanan berpasukan campuran itu adalah separuh akhir pada 2009 di Guangzhou, China.

Turut membarisi skuad kali ini Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lee Zii Jia (perseorangan lelaki) Soniia Cheah (perseorangan wanita), Vivian Hoo-Woon Khe Wei, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 3:12 AM