myMetro

STATUS pemain paling muda bukan halangan buat perseorangan wanita Goh Jin Wei memainkan peranan penting buat skuad negara mencatat keputusan membanggakan dalam Piala Sudirman dari 21 hingga 28 Mei ini di Gold Coast, Australia.

Jin Wei bukan saja menjadi pemain termuda dalam skuad malah tampil buat kali pertama dan berdasarkan status ranking selaku pemain perseorangan wanita utama negara sudah tentu akan memainkan peranan penting dalam menghadiahkan mata buat negara.

Menurut pemain berusia 17 tahun itu, kedua-dua status itu bukan halangan buatnya bagi memperagakan aksi terbaik dan bersama-sama memberi kerjasama dengan tonggak lebih senior.

“Ini memang penampilan sulung saya di Piala Sudirman. Kami sudah menjalani latihan intensif dalam persediaan sebelum ke Gold Coast (17 Mei),” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Jelasnya, walapun menghadapi latihan keras dia cuba untuk mengharungi dan mengambilnya dari sudut positif demi kebaikan menjelang aksi peringkat kumpulan menentang Jepun serta Jerman.

Tumpuan akan terarah kepada Jin Wei dalam perlawanan menentang Jepun pada 24 Mei ini apabila dia dijangka berdepan Akane Yamaguchi atau Nozomi Okuhara, kedua-duanya berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Berdasarkan rekod pertemuan Jin Wei tumpas kedua-dua perlawanan menentang Akane pada Kejohanan Badminton Asia 2016 dan 2017 namun tidak pernah bertemu Nozomi.

Aksi sulung skuad negara di Gold Coast bermula pada 21 Mei menentang wakil Eropah, Jerman di Pusat Sukan dan Rekreasi Carrara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2017 @ 4:31 AM