Kuala Lumpur: Amsterdam, Belanda sekali lagi menjadi destinasi pilihan skuad hoki wanita negara untuk melakukan persiapan rapi sebelum menghadapi saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Brussels, Belgium, pada 21 Jun hingga 2 Julai.

Ketua jurulatih Muhammad Dhaarma Raj Abdullah (gambar) berkata, negara itu menjadi pilihan selepas menyaksikan barisan pemainnya memperoleh banyak manfaat ketika Jelajah Eropah, bulan lalu apabila berjaya mendapatkan perlawanan persahabatan cukup kompetitif.

“Saya sudah mencadangkan kepada MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) kita mahu pergi ke Amsterdam terlebih dulu, mungkin seawal 12 Jun.

“Kami berharap dapat mengatur antara tiga hingga empat perlawanan persahabatan sebelum ke Belgium.

“Di Belgium, kami akan bermain satu perlawanan persahabatan dengan Itali. Pada 21 Jun pula, adalah perlawanan pertama kita bertemu Australia,” katanya.

Dhaarma berharap, segala cadangan dikemukakan itu mendapat persetujuan MHC terutama Pengarah Teknikal Terry Walsh.

Sementara itu berbaki kira-kira lima minggu sebelum saingan di Belgium, Dhaarma tetap percaya masih ada peluang untuk Malaysia layak buat kali pertama ke Piala Dunia meskipun pada pandangan ramai, ia sesuatu yang mustahil.

Ini kerana skuad bimbingannya diletakkan dalam Kumpulan B bersama-sama gergasi dunia Australia, New Zealand, Sepanyol serta Belgium selaku tuan rumah.

“Memang kita akan tampil ke Belgium dengan pasukan yang menduduki ranking paling rendah dan diletakkan dalam kumpulan cukup sukar.

“Tapi sebenarnya tiada yang mustahil. Saya pernah membimbing pasukan yang tidak diletakkan harapan tinggi tapi akhirnya meraih pencapaian membanggakan.

“Harap-harap itulah juga yang mampu saya lakukan kepada skuad wanita,” kata Dhaarma yang pernah membimbing pasukan remaja lelaki negara meraih kedudukan empat terbaik pada kempen Piala Dunia 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 9:09 AM