Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: “Jangan berasa terlalu tertekan dan fikirkan pencapaian lalu.” Demikian nasihat bekas jurulatih skuad hoki remaja negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah (gambar, tengah) kepada barisan pemain negara yang akan beraksi pada Piala Dunia Remaja di Lucknow, India bermula esok sehingga 18 Disember ini.

Jelas Dhaarma, skuad negara bimbingan Wallace Tan perlu fokus pada setiap perlawanan peringkat kumpulan terlebih dulu sebelum memikirkan sasaran lebih tinggi.

Pada edisi Piala Dunia 2013, skuad bimbingan Dhaarma Raj yang dilihat sebagai Generasi Emas, meraih pencapaian terbaik apabila menamatkan saingan di tempat keempat.

Kali ini, skuad negara diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Belgium, Belanda serta Mesir.

Mereka perlu mencatat kemenangan dengan Mesir untuk sekurang-kurangnya beraksi pada penentuan tempat ke-9 hingga 12.

Kemudian sekiranya mereka dapat menewaskan antara Belgium dan Belanda, ia sudah mengesahkan tempat ke suku akhir.

“Bagi saya apa saja boleh berlaku. Mungkin juga pasukan kali ini mampu mengatasi pencapaian pasukan saya dulu,” katanya.

Jelas Dhaarma, perkara itu bukan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan anak buah Wallace.

“Mereka hadir di kejohanan kali ini dengan tiada sebarang tekanan dan tidak perlu bimbang apa-apa.

“Mungkin semangat untuk ‘melepaskan geram’ boleh membantu mereka melakukan kejutan,” katanya merujuk kepada kegagalan skuad negara layak secara merit di Piala Remaja Asia tahun lalu selepas tewas menerusi penentuan penalti ketika bertemu Korea Selatan di suku akhir.

Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menawarkan tempat kepada skuad negara untuk beraksi di Lucknow selepas membatalkan penyertaan Pakistan yang layak secara merit selepas gagal memenuhi beberapa kriteria ditetapkan badan induk itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 8:33 AM