ANTARA peserta yang menyertai The International Materials Technology Challenge (iMTC) 8.0.
ANTARA peserta yang menyertai The International Materials Technology Challenge (iMTC) 8.0.
Suliati Asri


BAGI mencungkil bakat pelajar dan ahli akademik dalam bidang inovasi, Persatuan Sains dan Teknologi Keadaan Pepejal Malaysia (MASS) Chapter dengan kerjasama Jabatan Fizik, Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan The International Materials Technology Challenge (ICTC) dan The International Materials Technology Challenge (iMTC) 8.0.

Bertemakan 'Materials Beyond Borders,' iMTC 8.0 ini disertai pelajar universiti dan ahli akademik.

Manakala, ICTC yang bertemakan 'Materials for Innovation Enhancement' dan julung kali diadakan pula memberi peluang kepada peserta dalam kalangan pelajar mempamerkan projek inovasi.

Pengarah program, Dr Muhammad Kashfi Shabdin berkata, menerusi ICTC 1.0 pelajar sekolah akan menghasilkan buah fikiran inovatif dan kreatif dalam penyelidikan yang dijalankan.

Menurutnya, antara projek-projek menarik yang dicipta pelajar adalah penghasilan kanta daripada botol plastik bersesuaian dengan kelestarian alam sekitar bagi mengatasi isu perubahan iklim yang kian menjadi kegusaran utama manusia pada zaman sekarang.

"Pertemuan antara peserta yang terdiri daripada pakar mahupun pemula dari segenap bidang memberikan platform perkongsian idea dan perspektif baharu dalam usaha mengembangkan projek ke arah hasil yang praktikal selain boleh dipasarkan.

"Selain itu, matlamat program yakni untuk memberi pengiktirafan kepada mereka yang sudah mencapai kecemerlangan dalam bidang penyelidikan masing-masing tercapai," katanya.

Dr Muhammad Kashfi berkata, program sebegini dilihat mampu mencetus buah fikiran inovatif dan kreatif dalam kalangan peserta seterusnya bakal mencorakkan masa hadapan penyelidikan sains dan teknologi bahan.

"Menerusi penganjuran program ini, diharap ia berjaya menginspirasikan generasi baharu untuk menceburi bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) demi mencapai wawasan negara saintifik yang bukan sahaja menggunakan, tetapi juga menjana teknologi maju," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 6:49 AM