DR Abu Bakar   (dua dari kanan)   melawat pameran pada majlis pelancaran Konsep  MLFF di Technology Park Malaysia, Bukit Jalil.
DR Abu Bakar (dua dari kanan) melawat pameran pada majlis pelancaran Konsep MLFF di Technology Park Malaysia, Bukit Jalil.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperuntukkan pelaburan RM19.59 juta untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) konsep inovatif Sistem Aliran Tol Tanpa Henti (MLFF) yang bakal dilaksanakan sepenuhnya menjelang 2018.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohd Diah berkata, konsep itu salah satu projek mendapat pembiayaan geran di bawah program Flagship Dasar Sains dan Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) Fasa II MOSTI.

Menurutnya, DSTIN program skim dana khas disediakan MOSTI untuk membiayai penyelidikan dalam bidang dikenal pasti memberi impak tinggi kepada pembangunan negara selaras hasrat kerajaan menjana ekonomi melalui sains, teknologi dan inovasi (STI).

“Setakat ini, MOSTI meluluskan peruntukan dana RM318 juta untuk program Flagship ini dengan membabitkan lapan projek termasuk MLFF sejak 2013,” katanya pada pelancaran bukti konsep MLFF, di sini, semalam.

MLFF adalah sistem yang menawarkan kaedah penyelesaian terbaik kepada masalah kesesakan lalu lintas terutama ketika waktu puncak aliran kenderaan di plaza tol lebuh raya utama di negara ini.

Inisiatif itu dibangunkan Quartiz Systems Sdn Bhd, Touch n Go Sdn Bhd (TNG) serta Mitsubishi Heavy Industries, Jepun dan diselaraskan Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM) sejak 2013 dengan peruntukan RM2.9 juta untuk fasa pertama.

Beliau berkata, MOSTI berharap syarikat konsesi dan pengendali lebuhraya mengguna pakai sistem itu bagi menggantikan plaza tol konvensional melalui fleksibiliti pembayaran serta pelepasan pantas melalui gantri elektronik.

Menurutnya, sistem itu dilihat perlu dilaksanakan selari dengan peningkatan jumlah kenderaan di negara yang Malaysia mencatatkan lebih 322,000 pendaftaran baru bagi kenderaan penumpang dan komersial sehingga Jun lalu dan dijangka meningkat kepada 48 juta kenderaan menjelang 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 6:28 AM