PERSEMBAHAN penuh bertenaga dan berwarna-warni memeriahkan IMACC 2023.
PERSEMBAHAN penuh bertenaga dan berwarna-warni memeriahkan IMACC 2023.
Suliati Asri


MANAGEMENT and Science University (MSU) melalui School of Hospitality & Creative Arts (SHCA) menganjurkan MSU International Music, Arts and Cultural Convention (IMACC) 2023, baru-baru ini.

Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, institusi pengajian tinggi (IPT) antara pemain industri utama yang melahirkan tenaga mahir berdaya saing dalam industri seni persembahan negara dan antarabangsa.

Katanya, program berbentuk apresiasi kebudayaan dan seni persembahan yang dianjurkan dengan kolaborasi Istana Budaya itu turut membabitkan penganjuran pelbagai aktiviti khusus yang membolehkan pelajar memperkasakan kemahiran seni persembahan, menghargai keunikan dan kepelbagaian seni budaya di Malaysia serta global.

"Jalinan kerjasama strategik antara MSU dan Istana Budaya menerusi program Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM): Sounds of Malaysia (SOM) bermatlamat untuk memaparkan keunikan seni muzik tradisional Malaysia kepada generasi muda.

"Ia juga sebagai medan perkongsian ilmu, kemahiran dan pengalaman ahli OTM kepada kakitangan dan pelajar MSU melalui bengkel yang diadakan sempena IMACC ini," katanya.

Sepanjang dua hari penganjuran IMACC ini, antara aktiviti yang dijalankan termasuk International Cultural Fest, Persidangan 16th SHCA Research Colloqium; simposium; Museum of Music; Music X Zone; Jelajah Bah; Mari Pigi Sabah dan Labuan Roadshow.

Turut diadakan pertandingan Nyanyian Irama Malaysia, kursus jangka pendek anjuran Istana Budaya berkenaan muzik etnik dan tradisional.

Acara kemuncak IMACC 2023 pula adalah konsert MSU Ethnic Festival (Metfest) yang membabitkan kerjasama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), Sounds of Malaysia (SOM) Istana Budaya serta bakat yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar MSU.

Penganjuran Metfest yang turut menampilkan persembahan artis jemputan seperti Masue Kato, Ernie Zakri, Waris, Rojer, Dhiya serta kakitangan dan pelajar MSU mendapat sambutan luar biasa apabila semua jenis kategori tiket habis dijual.

Hadir pada majlis pelancaran program METFEST adalah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Dr Zulkapli Mohamed serta barisan pengurusan kanan MSU.

Turut hadir, wakil dari kedutaan Arab Saudi, Bahrain, Suruhanjaya Tinggi Brunei, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Istana Budaya, Tourism Selangor, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) serta penaja.

Usaha mempelopori kecemerlangan pendidikan tinggi menyaksikan MSU berada pada kedudukan ke-46 terbaik di dunia bagi subjek Hospitality and Leisure Management menurut edisi 2023 QS World University Rankings by Subject.

Selain itu, kualiti jenama MSU turut diiktiraf sebagai penerima 'Malaysia Tourism Council Golf Award School of Tourism and Hospitality' dan Malaysia Centre of Excellence of the Asia Pacific Institute of Events Management (APIEM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 6:08 AM