SEORANG penerima gembira dengan sumbangan diberikan.
SEORANG penerima gembira dengan sumbangan diberikan.
Fazurawati Che Lah

PENULARAN pandemik Covid-19 menyaksikan pelbagai lapisan masyarakat terkesan.

Atas dasar keprihatinan dan cakna kepada komuniti memerlukan, Management and Science University (MSU) melalui Unit Alumni dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Padang Jawa, Shah Alam, Selangor menjalankan program MSU Box of Happiness, baru-baru ini.

Program itu disertai 20 alumni MSU yang bersama-sama berganding bahu menyerahkan sumbangan barangan keperluan asas dan wang tunai bernilai RM6,000 kepada 15 keluarga terpilih.

Antara sumbangan keperluan asas yang diberikan ialah beras, telur, ikan segar, gula pasir, tepung gandum, minyak masak, kicap, sardin dalam tin, kurma, susu pisang, biskut raya, rempah serta minuman coklat.

ALUMNI MSU bersama barangan yang disumbangkan.
ALUMNI MSU bersama barangan yang disumbangkan.

Turut disumbangkan ialah pelitup muka dan cecair pembasmi kuman termasuk yang diformulasikan oleh MSU.

Pengurus Unit Alumni MSU, Mohd Hairulnizam Ibrahim berkata, projek itu selaras dengan penerapan budaya Giving and Grateful (2G) yang merentasi semua warga MSU.

"Alumni yang terbabit dalam program MSU Box of Happiness ini terdiri daripada usahawan berjaya dalam pelbagai bidang seperti makanan dan minuman, logistik, kejuruteraan, pembuatan, perniagaan atas talian serta usahawan sosial," katanya.

Rata-rata alumni itu menyifatkan program terbabit memberikan mereka peluang untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan, sekali gus meringankan beban penerima.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 6:30 AM